fbpx

Sustainability Hunt 2023 didik budaya kitar semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada peserta yang menyertai program Sustainability Hunt 2023 di Fasiliti Inovasi Kitar Semula di Putrajaya baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) aktif giat mempromosikan budaya kitar semula menerusi platform pendidikan dengan menganjurkan edisi kedua Sustainability Hunt 2023 sekali gus meletakkan Malaysia di landasan tepat ke arah mewujudkan negara hijau pada masa depan.

Menariknya, program yang diadakan di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di sini baru-baru ini telah melibatkan seramai 35 peserta termasuk komuniti media sosial dan orang awam yang turut berperanan sebagai ejen penyaluran maklumat kitar semula kepada kumpulan sasar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan, penganjuran Sustainability Hunt 2023 memfokuskan kepada usaha memupuk kesedaran alam sekitar melalui pendidikan seperti ilmu pengurangan pembaziran, penjimatan tenaga serta gaya hidup lebih lestari.

“Kami sangat teruja menganjurkan Sustainability Hunt 2023 yang merupakan sebahagian daripada komitmen Alam Flora dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar.

“Dengan melibatkan pelbagai kategori peserta termasuk Key Opinion Leader (KOL), kami mahu memaksimumkan jangkauan dan mencipta platform terbaik bagi meningkatkan kesedaran tentang isu alam sekitar.

“Ia juga dapat memacu tindakan kolektif ke arah masa depan mampan,” katanya dalam kenyataan bersempena pelancaran program Sustainability Hunt 2023 di sini baru-baru ini.

Menerusi penganjuran Sustainability Hunt 2023, peserta diberikan sebanyak lima tugasan untuk diselesaikan antaranya trash or treasure, Go Green, Recycle Master dan Sustainability Champion di mana setiap aktiviti itu mendidik peserta mendalami budaya kitar semula.

Sustainability Hunt 2023 kali ini menawarkan hadiah untuk juara pertandingan itu sebanyak RM500 diikuti RM300 bagi tempat kedua, manakala RM150 bagi tempat ketiga menerusi tiga kategori iaitu komuniti media sosial, orang awam dan media arus perdana.

 

Sementara itu, mengulas mengenai aktiviti sepanjang program terbabit, selebriti Haiza Hanafi berkata, dirinya mempelajari pelbagai ilmu mengenai amalan kitar semula serta akan mengamalkanya selepas ini.

“Kami belajar banyak kaedah melestarikan bumi dengan menjaga alam sekitar. Ini kerana, golongan dewasa juga mungkin terlupa untuk melaksanakan perkara tersebut.

“Jadi, kami mempelajari tentang bahan boleh dikitar semula selain senarai barangan yang tidak boleh berbuat demikian,” jelasnya kepada Kosmo!.

Selain memastikan alam sekitar kekal terjaga, katanya, beliau juga baru mengetahui bahawa orang ramai boleh menjana pendapatan sampingan yang memberangsangkan menerusi amalan kitar semula khususnya penjualan minyak masak terpakai.

“Sejujurnya, saya agak terkejut dengan nilai ditawarkan di pusat kitar semula jika kita menjual kembali minyak masak terpakai ekoran jumlahnya mencecah sekitar RM2.80 sekilogram.

“Jadi, keadaan itu secara tidak langsung menjelaskan kepada orang ramai bahawa mereka mampu menjana pendapatan dengan amalan murni itu selain membantu menghijaukan bumi kita,” jelasnya.

Minyak yang dihantar ke pusat kitar semula akan diproses menjadi biodesel untuk kegunan jentera yang menggunakan diesel.

Senada dengan Haiza adalah seorang Nor Suhaili Mohamed Amin atau lebih dikenali sebagai Auntie Purple yang menyifatkan program Sustainability Hunt 2023 mendidiknya untuk terus mengamalkan budaya kitar semula.

“Sepanjang acara berlangsung saya begitu teruja kerana banyak kaedah mudah untuk kita kitar semula seperti menanam pokok di dalam bekas air kotak.

“Susulan itu, saya rasa bersemangat untuk mengajak lebih ramai orang untuk mula mengikuti amalan kitar semula kerana ia begitu mudah dibuat di kawasan rumah sahaja.

“Sebagai pempengaruh media sosial, saya juga akan terus menceritakan kepentingan kitar semula kepada pengikut menerusi kandungan dihasilkan agar ia dapat dijalankan dari masa ke semasa,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI