fbpx
ZAMANI IBRAHIM

Kasih Slam macam adik-beradik- Zamani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERNAH melalui episod masam manis sepanjang tiga dekad berpayung bawah satu nama, namun hingga ke detik ini Slam terus ampuh bersatu.

Band yang popular dengan katalog malar segar itu mengakui semangat setiakawan melebihi sikap mementingkan diri, itu yang membuat mereka terus bersama.

Akui vokalisnya, Zamani Ibrahim, walau masing-masing mempunyai projek sendiri, namun apabila membabitkan band, semua perkara lain ditolak ke tepi.

“Biasalah dalam rumah tangga pun sesekali ada rajuk dan marah, cuma apabila sudah berpuluh tahun berkawan, kita faham ‘kepala’ setiap seorang.

“Cuma apa yang saya nampak semua anggota Slam macam adik-beradik kerana walau mempunyai komitmen lain, band tetap nombor satu.

“Semangat setiakawan ini yang membuatkan kami dapat harungi segala dugaan dengan tenang dan terus bersatu sampai sekarang,” katanya.

Tidak hairan, tawaran mengadakan persembahan pentas hingga ke konsert besar kerap diterima sekaligus membuktikan Slam terus kekal relevan.

Nama Slam terus unggul sebagai antara kumpulan otai yang terus menjadi sebutan hingga ke hari ini.

Konsert Slam Nurkasih

Meneruskan kelangsungan sebagai band yang masih punyai pengikut setia, Slam kini teruja menantikan Konsert Nurkasih pada 6 Ogos depan.

Persembahan mega tersebut dibawakan AVG & WMD bersama Belbis dan Mewah Event Management (MEM) sebagai rakan strategik.

Selain Zamani, tunjang lain iaitu Shah, Lili, Man dan Eddie turut berkongsi kegembiraan untuk kembali bertemu penyokong tegar mereka sejak dahulu.

“Ini konsert besar buat Slam, sama penting dengan persembahan ulang tahun ke-30 yang sepatutnya diadakan tahun depan.

“Bukanlah bermakna Konsert Slam Nurkasih tidak sepenting konsert unplugged yang sememangnya dalam perancangan kami buat tahun 2024.

“Seperti tema, Nurkasih yang juga antara lagu popular kami, ini juga tanda kasih sayang kami kepada peminat,” kata Shah.

BIARPUN berada di posisi paling popular, Zamani tiadk pernah hilang hormat terhadap kumpulannya.

Dendang lebih 20 lagu

Band muzik yang cukup meledak pada awal tahun 1990-an itu akan membawakan 18 hingga 20 lagu-lagu hit mereka yang pasti akan menggamit memori.

Menurut Shah, pembeli tiket Konsert Slam Nurkasih berpeluang memenangi sebuah gitar sebagai hadiah nombor tiket bertuah bagi pembeli tiket dan di buat untuk semua kategori tiket.

Katanya, selepas kejayaan Konsert Slam Menteri Muncul Lagi dua tahun ini, mereka sekali lagi mengubati rindu peminat dengan penampilan di Zepp Kuala Lumpur, nanti.

“Harapan kami semua peminat Slam dapat berkumpul beramai-ramai, seterusnya menjadikan malam itu lebih bermakna,” kongsinya.

Konsert Slam Nurkasih bakal menyajikan lebih 20 dendangan sepanjang dua jam persembahan berlangsung.

Gembira banyak konsert

Sementara itu, kumpulan yang popular menerusi lagu genre cinta ini turut gembira dengan perkembangan industri hiburan masa kini.

“Melihat industri rancak dengan persembahan ‘live’ adalah tanda sesuatu yang bagus kerana peminat muzik juga sanggup belanjakan wang untuk beli tiket tak kira artis lama atau baharu.

“Mereka menyokong setiap artis dan tiada persaingan dalam industri kerana masing-masing cari rezeki. sekaligus memeriahkan lagi industri hiburan tanah air.

“Kami seronok tengok semua artis aktif, malah Slam kali terakhir buat konsert pada 2021,” ujar Zamani lagi.

Sentiasa utamakan kepentingan kumpulan antara rahsia Slam bertahan lama.

Seleksi malar segar

Antara seleksi yang bakal disampaikan seperti Gerimis Mengundang, Kembali Terjalin, Tak Mungkin Berpaling, Rindiani dan banyak lagi.

Konsert Slam Nurkasih akan bermula pada pukul 8.30 malam, manakala tiket menyaksikan konsert boleh diperoleh menerusi melayari https://ilassotickets.com/event/konsert-slam-nurkasih.

Harga tiket antara RM198 (Festival), RM 298 (Cat 2 – duduk ), RM458 (VIP), manakala RM5,000 bagi kategoti Royal Box. Menjelang konsert, bukan sahaja berhibur, peminat juga berpeluang beramah mesra bersama Slam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN