BAGI sesetengah orang, besi terpakai bukanlah sesuatu yang bernilai pada pandangan mata.
Namun, berbeza dengan Muhammad Khairi Adham Abdul Muin, 27, yang melihat besi terpakai mempunyai nilainya tersendiri jika diolah dengan baik.
Melalui kemahiran yang dimiliki, anak muda yang menetap di Kuala Lipis, Pahang itu mampu menukar besi terpakai menjadi pisau untuk kegunaan ibadah korban.
Ia merangkumi pisau lapah, pisau sembelih dan pisau potong tulang yang dijual pada harga mencecah ratusan ringgit setiap satu.
“Pisau yang dihasilkan ini sepenuhnya adalah ‘buatan tangan’ saya sendiri.
“Permintaan terhadap pisau ini terutamanya pisau lapah sememangnya tinggi apabila menjelang Hari Raya Aidiladha.
“Pada tahun ini, saya hanya hasilkan sekitar 50 hingga 60 bilah pisau lapah,” katanya kepada K2.

Pisau tersebut bukanlah produk utama yang dihasilkan pemuda yang mesra disapa Khairi Adham itu.
Ini kerana, dia turut menghasilkan parang yang dijenamakan sebagai Parang Lipis.
Bagaimanapun, dia tetap menghasilkan pisau pada waktu tertentu supaya tidak lupa cara dan kemahiran membuatnya.
Berbicara tentang proses penghasilan pisau, Khairi Adham menjelaskan, dia akan menggunakan besi-besi terpakai seperti besi spring kereta dan lori serta lain-lain lagi.
Menurutnya, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah menempa besi bagi membolehkan lakaran pisau dibentuk.
“Setelah pisau terbentuk, saya akan menebuk lubang pada bahagian hulunya.
“Kemudian, saya akan mencanai di kedua-dua bahagian besi ini bagi menajamkannya.
“Apabila sudah tajam, saya akan bakar pisau lapah ini sekali lagi, sebelum mencelupnya ke dalam minyak.
“Ia tujuan mengeraskan besi pisau ini,” terangnya.
Tambahnya, pisau tersebut akan melalui beberapa lagi proses terutamanya pada bahagian hulu atau pemegang dan sarung untuk menyimpannya.
Biasanya, pisau yang dihasilkannya memiliki ukuran panjang antara 10 hingga 11 inci.

Dalam pada itu, Khairi Adham mengakui bahawa jika dibandingkan dengan membuat parang, proses menghasilkan pisau lebih rumit.
Jelasnya, ‘perincian’ pisau lebih rumit kerana simetri kiri dan kanan perlu tepat, tebal hulu perlu sama serta lain-lain lagi.
Selain itu, dia juga perlu memastikan ergonomik pisau memberi keselesaan kepada pengguna apabila dipegang.
“Proses paling sukar dalam penghasilan pisau ini adalah untuk memastikan besi kekal tajam selama mungkin.
“Kita perlu mendapatkan bentuk V yang lurus dan rata pada pisau lapah ini supaya ia kekal tajam,” terangnya.
Dalam pada itu, Khairi Adham memaklumkan, biasanya dia mampu menghasilkan lima bilah pisau lapah sehari.
Meskipun sudah mahir dalam penghasilan pisau, namun dia mengakui, ada kalanya turut melakukan kesilapan.
Untuk makluman, kebiasaanya pisau lapah akan digunakan untuk membuang kulit haiwan yang telah dikorbankan.
Oleh itu, Khairi Adham berpendapat bahawa pisau lapah mempunyai karakternya tersendiri.
“Pisau lapah yang saya hasilkan mempunyai lengkuk bagi membolehkan proses melapah lebih senang dilakukan.
“Selain melapah, pisau ini juga boleh digunakan bagi proses memotong daging,” ulasnya.
Biarpun pisau yang dihasilkan oleh Khairi Adham terhad, namun kerja tangannya itu sentiasa mendapat sambutan daripada orang ramai.
Disebabkan itu, dia tidak mengambil pesanan awal untuk pisau tersebut sebelum ia dihasilkan.
“Selalunya saya akan menjual pisau ini setelah ia siap sepenuhnya.
“Saya mengeluarkan pisau ini dalam kuantiti terhad bagi membolehkan orang ramai membeli dengan tukang pisau lain, jika tidak sempat membeli produk saya,” terangnya.
Tambahnya, sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini, dia turut menghasilkan kapak tulang.
Sementara itu, mengulas tentang penglibatannya dalam dunia pembuatan pisau dan parang, Khairi Adham menjelaskan, semuanya bermula setelah dia menghilangkan parang milik ayahnya ketika bertugas sebagai pemandu pelancong sambilan pada 2018.
“Parang milik ayah saya hilang dan hanya tinggal sarungnya. Bagi mengurangkan marah ayah, saya mula mencari tukang yang boleh menghasilkan parang.
“Saya terkejut apabila mendapati bahawa sangat sukar mencari tukang yang boleh menghasilkan parang terutamanya di Kuala Lipis.
“Akhirnya, saya bertemu dengan tukang yang boleh menghasilkan parang di Raub.
“Setelah melihatnya, saya rasa proses pembuatan parang tidaklah terlalu sukar,” katanya.
Bermula dari situ, timbul keinginan dalam dirinya untuk mendalami kemahiran tersebut.
Pada ketika itu, dia masih menuntut di Universiti Selangor (Unisel) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Ketika cuti semester selama sebulan, dia mengambil keputusan pusing satu Malaysia dengan menunggang motosikal Honda Wave untuk melihat dan menguasai kemahiran pembuatan pisau serta parang.
“Sepanjang perjalanan itu, saya telah bertemu seramai 60 tukang dan mendokumentasi cara pembuatannya dengan merakam video dan membuat nota.
“Setiap tukang memiliki teknik berbeza.
“Selepas pulang daripada pengembaraan, saya bermula dengan menghasilkan pisau lapah,” jelasnya.
Khairi Adham menjelaskan, dia berakar umbi dengan pembuatan pisau terlebih dahulu sebelum menghasilkan parang.
Setelah tamat pengajian di Unisel, dia bekerja di Arab Saudi bersama sebuah agensi pelancongan.
Disebabkan pandemik Covid-19, dia kembali ke kampung pada 2020, sebelum membuka sebuah bengkel menghasilkan parang.
“Sehingga kini kami menghasilkan enam jenis parang pelbagai saiz panjang di bawah jenama Parang Lipis.
“Selain memenuhi permintaan pasaran tempatan, parang yang kami hasilkan turut dieksport ke luar negara termasuk Itali dan New Zealand,” ujarnya.














