fbpx
JACLYN VICTOR

Jaclyn Victor idam konsert solo mega

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEBIH dua dekad dalam industri muzik tanah air, tidak masuk dek akal sekiranya nama Jaclyn Victor masih asing di telinga pencinta muzik apatah lagi sebelum ini dia diangkat sebagai juara Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).

Kekal relevan meskipun mengambil tempoh agak lama untuk menghadirkan sesebuah lagu baharu, kredibiliti dan kebolehan Jaclyn tidak dapat disangkalkan lagi apabila namanya tidak pernah memudar malah kekal sebagai penyanyi gred A tanah air.

Jaclyn ternyata benar-benar membuktikan dirinya seorang penghibur berkualiti dengan mencipta nama menerusi bakat luar biasa dan tidak bergantung harap pada kontroversi murahan demi nama terus menjadi siulan di bibir peminat.

Jauhi kontroversi

Jelas Jaclyn atau nama lengkapnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, dia lebih selesa menyerlah dengan bakat nyanyian, berbanding disebut-sebut kerana cerita sensasi selain bimbang hatinya luluh mendengar caci maki netizen.

“Secara jujurnya saya lebih selesa jika tiada kontroversi tapi pernah orang beritahu, saya terlampau bersih menyebabkan mereka bosan, namun pada saya, hati saya masih belum kuat untuk menerima kecaman.

“Saya tidak perlukan kontroversi untuk kekal relevan. Saya mahu orang kenal saya sebagai penyanyi dan orang bercakap tentang suara serta lagu saya, bukan cerita tak berfaedah,” katanya kepada Pose.

SELEPAS bergelar juara GV9, Jac kini hadir dengan single balada berjudul Kembalilah. – MOHD. FARIZWAN HASBULLAH.

Bagaimanapun, Jaclyn atau mesra disapa Jac tidak menafikan keperluan kontroversi kepada sesetengah artis untuk menaikkan nama atau mempromosikan lagu terbaharu mereka.

“Ada orang memang buat kontroversi untuk nama disebut-sebut, pada saya perkara tersebut bergantung kepada individu, terpulang kepada mereka. Kalau saya, memang tidak mahu mencuba pendekatan sebegitu.

“Orang kata, bad publicity is still a publicity (publisiti buruk tetap publisiti), namun hati saya tidak akan kuat untuk menahan kecaman dan tohmahan netizen hanya semata-mata untuk kekal relevan, saya tidak mahu!,” getus Jaclyn.

Enggan terlalu lama larut dalam topik kontroversi, pelantun lagu hits Gemilang itu sempat berkongsikan hasratnya untuk mengadakan konsert berskala besar pada tahun hadapan.

Konsert skala besar

Jelas Jac, dia dan pasukan pengurusan kini dalam proses merealisasikan impian itu selain mempunyai perancangan mengadakan persembahan berskala kecil pada tahun ini.

JAC ingin kekal dengan imej bersih, bebas daripada sebarang kontroversi murahan.

Malah katanya, konsert mega itu nanti merupakan hadiah kepada peminat yang sudah sekian lama menantikan persembahan pentas berskala besar daripadanya.

“Tahun hadapan genap 20 tahun saya dalam industri selepas menang Malaysian Idol, saya dan pasukan tengah mengusahakan mungkin konsert berskala besar sempena hayat karier dua dekad dalam arena muzik tanah air.

“Untuk tahun ini, kita juga ada merancang satu showcase sebab sudah terlampau lama saya tak buat konsert atau persembahan kecil dan ini hadiah buat peminat saya yang selalu bertanya,” ulasnya.

Bagaimanapun, penyanyi bervokal lantang itu menegaskan bahawa perkara tersebut masih dalam proses perbincangan dan memerlukan perancangan lebih teliti.
Katanya, dia enggan tergesa-gesa, sebaliknya meneliti satu per satu elemen dari segenap segi supaya konsert mega itu kelak akan menjadi kenangan terindah buatnya dan peminat.

“Semuanya masih dalam perancangan, banyak perkara yang harus dipertimbangkan, saya tidak mahu buat acuh tak acuh hanya sekadar mahu buat konsert.

“Kena betul-betul bersedia dan pasang strategi, saya tidak mahu disebabkan silap langkah, konsert terpaksa dibatalkan kerana tiket tak laku dan sebagainya.
“Biarlah konsert itu nanti akan menjadi hadiah yang diingati hingga ke akhir hayat saya,” jelasnya.

Masih ‘berbisa’

Beralih pula pada topik berkaitan tenaga dan staminanya yang kekal ‘remaja’ meskipun umur sudah mencecah 45 tahun, Jac tersenyum membutirkan bicara tentang perihal terbabit.

Bukan Jaclyn namanya kalau tidak menyanyi dengan nada tinggi melangit. Kelebihan mempunyai julat vokal yang luas membolehkan dia begitu mudah melantunkan pelbagai jenis lagu bahkan nada tinggi seolah-oleh signatur buat dirinya.

Apabila ditanya apakah rahsia kekal bertenaga menyanyi dengan nada tinggi meski usia mencecah 45 tahun, Jaclyn menjawab, dia sama sahaja seperti orang lain.

“Sejujurnya tiada rahsia apa pun, kena pastikan dapat tidur yang cukup, selalu bersenam selain menjaga pemakanan serta melakukan pemanasan suara sebelum menyanyi.

“Dulu saya ada masuk kelas vokal, sekarang saya buat latihan vokal sendiri sebab tak cukup masa, saya rasa sebagai seorang penyanyi, kena ada ‘common sense’, contohnya jangan terus menyanyi lepas bangun tidur.

Paling penting kata Jaclyn, setiap penyanyi perlu kenal suara mereka selain menguasai asas-asas nyanyian yang sepatutnya.

Menjadi ibu tunggal kepada dua orang anak, Jac mengakui itu bukan satu tanggungjawab yang mudah.

Sehingga ke hari ini, dia masih bergelut menyesuaikan diri dengan keadaan, namun semuanya berada dalam keadaan yang baik.

“Saya uruskan anak-anak sendiri, kadang-kadang susah juga apatah lagi kalau saya ada jemputan menyanyi di luar negeri, jadi untuk bahagikan masa itu, saya ikut mana yang penting terlebih dahulu,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN