fbpx
Shahira (kiri) dan Ros menunjukkan permainan judi online melalui telefon bimbit ketika ditemui Kosmo! semalam. – ZULHANIFA SIDEK

Suri rumah ‘tahi’ judi online, dapat RM12,000 buat bisnes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU PANJANG – Bukan sahaja orang lelaki yang sering dikaitkan dengan ketagihan bermain judi online menerusi telefon bimbit, malah kini terdapat suri rumah yang turut menjadi ‘tahi’ judi selepas menang ‘jackpot’ belasan ribu ringgit.

Lebih parah lagi apabila hasil kemenangan yang diperoleh daripada pertaruhan itu dilaburkan untuk mengembangkan dan membuka perniagaan baharu.

Seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Shahira, 44, berkata, dia terjebak dengan judi online sejak empat tahun lalu dan mula ketagih selepas banyak kali memenangi pertaruhan.

Pada awal Januari lalu, katanya, dia pernah menang ‘jackpot’ sebanyak RM12,100 selepas meletakkan pertaruhan sebanyak RM200 dengan bermain judi online jenis ‘spin’.

“Ini pertama kali saya menang besar. Kebiasaannya, saya hanya menang antara RM200 hingga RM400 jika bertaruh RM30. Pa­ling banyak pun saya pernah dapat RM2,500 pada tahun lepas.

“Menang RM12,100 baru-baru ini amat mengejutkan. Sebaik sahaja menerima wang itu, saya terus menggunakan lebih daripada separuh untuk melabur dalam perniagaan saya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Shahira yang juga penjaja kecil di Rantau Panjang berkata, hasil duit judi itu dijadikan modal tambahan untuk mengembangkan perniagaan baju kanak-kanak, permainan dan beberapa bara­ngan jualan lain di pasar malam.

Menurutnya, dia juga menggunakan duit judi sebagai modal perniagaan baharu untuk membeli barangan elektrik, perabot dan aksesori emas.

“Selepas membeli barangan itu, saya menawarkan pembelian secara ansuran atau hutang kepada penduduk kampung. Ramai yang berminat dengan tawaran itu dan saya juga dapat untung berlipat kali ganda.

“Saya sesekali tidak akan guna duit judi ini untuk kepentingan peribadi terutamanya membeli kelengkapan atau barangan rumah,” ujarnya.

Shahira berkata, dia pada asalnya terpengaruh dengan rakan-rakan penjaja kecil yang memperkenalkan permainan itu sehingga melakukan kegiatan tersebut hampir setiap hari.

Sepanjang bermain judi, dia pernah mengalami kerugian sebanyak RM400, namun mendapat semula wang itu apabila bertaruh pada hari-hari lain.

“Sebagai penjaja kecil, saya memerlukan modal secara ha­rian. Adakala saya rugi dan bermain judi adalah salah satu cara paling cepat untuk mendapatkan wang agar dapat kembali berniaga keesokan harinya.

“Saya sedar perbuatan ini ha­ram di sisi agama, namun ini sahaja cara mudah mendapatkan duit.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan pertama pada Mac 2020, saya terkurung di rumah selama hampir tiga bulan. Hasil duit judi ini menjadi penyelamat,” kata­nya.

Seorang peniaga kosmetik yang mahu dikenali sebagai Ros, 23, memberitahu, dia juga me­ngaku sudah menjadi ‘tahi’ judi selepas diperkenalkan oleh rakan-rakan mengenai sebuah aplikasi judi di telefon pintar.

Katanya, aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma itu mudah untuk diakses di mana-mana sahaja dan hanya perlu melabur wang serendah RM10 untuk bermain.

“Dengan modal RM10, paling rendah saya pernah dapat duit atau ‘cuci’ RM30 dan itu sudah kira untung. Individu yang menjadi ‘tokan’ dalam permainan ini juga pasti akan memindahkan wang kemenangan secara dalam talian meskipun sedikit.

“Saya pernah ‘cuci’ RM1,500 tahun lalu dan wang itu digunakan sepenuhnya untuk menambah modal perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan sejak dua tahun lalu,” katanya.

Ros memberitahu, permainan judi online bergantung kepada nasib dan ia tidak memberi sebarang jaminan selain tidak boleh bergantung harap kepada habuan yang tidak disangka-sangka.

Ujarnya, ada dalam kala­ngan rakan-rakannya yang terdiri daripada peniaga kecil rugi ribuan ringgit akibat terjebak dalam kancah judi online.

“Saya masih belum terkena lagi meskipun sudah ketagih judi. Saya sentiasa berdoa agar dapat menghindari judi ini selain dapat menyucikan semula segala harta.

“Cuma, buat masa ini kehidupan sebagai peniaga kecil amat sukar dan memerlukan aliran tunai untuk terus bernafas,” ujar­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN