fbpx

Juruukur maut nahas di Bukit Tangga terima APC lepas 20 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Hasnul (kiri), keadaan lokasi kemalangan membabitkan dua kenderaan di Bukit Tangga, semalam (kanan).

JELEBU – Juruukur Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) Negeri Sembilan Barat yang maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Bukit Tangga di sini semalam baru menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) minggu lalu.

Arwah Muhamad Hasnul Ramli, 48, menerima pengiktirafan itu selepas 20 tahun berkhidmat bersama jabatan berkenaan.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, Muhamad Hasnul yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jelebu di sini.

Kemalangan di Kilometer 19, Jalan Seremban-Simpang Pertang, dekat Bukit Tangga itu turut mengorbankan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang merupakan penumpang kereta jenis Perodua Viva.

Menurut rakan sekerja arwah, Sr. Muhamad Fariz Absl Kamarul Azman, 42, berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Sikamat, Seremban selepas selesai tugasan hari pertama mengukur tanah di Kampung Jeram Lesung, Chennah.

“Arwah sudah lama bekerja di Jupem. Pada minggu lalu, dia menerima APC buat kali pertama dan arwah kelihatan begitu gembira sekali.

“Sepanjang bertugas dia tidak pernah berkira walaupun ditugaskan di tempat yang jauh serta pedalaman seperti semalam,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Jelebu hari ini.

Sementara itu, bapa kanak-kanak yang maut, Koperal Mohd. Hariz Shakirin Mohd. Yusof, 33, pula berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari membeli barangan di Seremban bersama isteri dan dua anak lelakinya berusia enam serta tiga tahun.

“Kejadian terlalu pantas. Saya sempat mengeluarkannya yang merupakan anak bongsu dari dalam kenderaan dengan bantuan orang awam. Ketika itu bahu pun terasa sakit, rupanya patah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI