fbpx

Penting sangatkah pangkat dalam kerja?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SEPERTI hangatnya cuaca ke­belakangan ini, begitu juga ‘suhu’ media sosial di Malaysia mengenai seorang penjawat awam berpangkat ‘inspektor’ yang me­nempa populariti gara-gara ‘kepetahan’ dan kelancangan mulutnya sehingga merendah-rendahkan martabat orang lain.

Kata-kata sindiran yang kurang manis didengar dan berbunyi bongkak itu menyakitkan telinga, ketika isu pangkat dijadikan punca utama pertelingkahan. Tidak cukup dengan itu, direndah-rendahkan pula pangkat orang bawahan.

Isu sebegini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya ia seolah-olah menjadi budaya kerja di banyak organisasi.

Budaya senioriti yang bermula di sekolah diteruskan di tempat kerja sehingga ada yang tertekan bekerja dalam pasukan yang begitu mengutamakan pangkat untuk membuat keputusan.

Mungkin kita pernah mende­ngar kata-kata seperti ‘aku terlebih dahulu makan garam’ atau kata-kata pepatah seperti, kalau kail panjang­ sejengkal, lautan dalam jangan diduga.

Ya, tidak dinafikan kebenaran kata-kata di atas, namun ia tidak boleh dijadikan ‘tiket’ untuk seseorang yang berpangkat lebih tinggi atau lebih senior untuk tidak mendengar keluhan atau cadangan orang bawahan.

Pakar Psikologi Universiti SEGi, Profesor Datin Dr. Mariani Md. Nor berkata, tidak dinafikan bahawa setiap pekerja perlu menghormati dan mengikuti pe­rintah seorang ketua, namun sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran waras dan bijaksana, ketua seharusnya boleh mende­ngar luahan pekerja bawahan tanpa memikirkan status.

Apatah lagi tindakan mengherdik atau memaki hamun seseorang yang berpangkat lebih rendah hanya kerana berpegang kepada prinsip ‘aku ketua, engkau orang bawahan’.

“Seorang senior harus dihormati dan dalam keadaan mereka mahu dihormati, pekerja bawahan juga harus dihormati,,” jelas Mariani.

Penulis percaya, pasti ada dalam kalangan pembaca yang berada dalam organisasi di mana orang bawahan tidak berpeluang menegur pegawai atasan. Sesiapa yang bertindak demikian se­ring kali ‘dicop’ sebagai membe­rontak, berani melawan atau lebih teruk digelar ‘kurang ajar’.

Mariani berkata, senario ini bukan sesuatu yang luar biasa, bahkan sering terjadi.

“Budaya seperti inilah yang membuatkan ketua sering berfikir bahawa dia sering betul, lantas keegoannya semakin lama semakin menebal sehingga menenggelamkan rasional dalam membuat keputusan,” ujarnya.

Budaya tidak sihat seperti inilah yang akan membuatkan suasana tempat kerja menjadi tidak harmoni, mencambahkan rasa tidak puas hati pekerja, seterusnya membawa kepada prinsip kakitangan hanya buat kerja secara ala kadar.

Keadaan ini yang membawa kepada kejatuhan orga­nisasi.

Justeru, antara pangkat dan kualiti kerja, mana satu yang le­bih penting?

Bagi Mariani, mutu kerja adalah hasil produktiviti sesuatu pekerjaan itu dengan usaha sama atau kesepakatan di tempat kerja. Jika tiada kesepakatan dalam kalangan ahli pasukan dan ketua, termasuk yang berpangkat rendah atau lebih senior, kualiti kerja akan menurun.

“Dalam sesuatu bidang profesion itu, perlu ada seorang ketua yang tugasnya bertanggungjawab memastikan operasi di tempat kerja itu berjalan dengan baik dan memuaskan,” jelasnya.

Berdasarkan keadaan itu, mutu kerja dan pangkat sebenarnya saling melengkapi dan memerlukan bagi mencapai hasil terbaik untuk kecemerlangan sesebuah organisasi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI