fbpx

Coldplay tambah lagi, kini enam hari konsert di Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Konsert Coldplay, Music Of The Spheres World Tour kini berjumlah enam hari di Singapura.

PETALING JAYA – Bukan empat atau lima, sebaliknya konsert jelajah Coldplay, Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Singapura kini akan diadakan sebanyak enam hari.

Pengumuman Live Nation Singapura itu dibuat pada hari sama semalam iaitu beberapa jam selepas penganjur mengesahkan kemunculan konsert kelima di Stadium Nasional Singapura.

Secara tidak langsung mencatat sejarah sebagai kumpulan yang mengadakan konsert terbanyak di satu venue secara berturut-turut dalam tempoh enam hari.

Malah tiket untuk semua persembahan di republik itu yang ditambah pada 30 dan 31 Januari depan turut habis disambar peminat.

“Semua tiket bagi enam persembahan Coldplay Music Of The Spheres World Tour di Singapura habis dijual.

“Sambutan luar biasa! Coldplay adalah satu-satunya penghibur yang menjayakan enam persembahan di Stadium Nasional Singapura,” ulas kenyataan yang dikongsikan dalam Instagram Live Nation Singapore.

Kelmarin, laman rasmi penjualan tiket yang juga dibuka seawal pukul 10 pagi untuk pra-jualan, sesak dengan kehadiran mencecah lebih sejuta pelayar.

Selepas lima jam, Live Nation Singapura mengumumkan tiket pra-jualan bagi konsert yang dijadualkan pada 23, 24, 26 dan 27 Januari depan itu habis disambar.

Menurut penganjur, penambahan satu lagi konsert juga dilaksanakan berikutan lebih 200,000 tiket untuk persembahan empat hari itu laris.

Terdahulu, Coldplay pernah beraksi dua malam di Stadium Nasional Singapura pada 2017.

Pengumuman tersebut dibuat selepas jualan tiket bagi siri jelajah sama di Malaysia dan Indonesia meraih sambutan luar biasa.

Coldplay turut menambah satu lagi persembahan di Filipina pada 19 Januari 2024, dan di Thailand pada 3 Februari 2024.

Kegilaan pengikut tegar band ikonik itu ditunjukkan peminat Malaysia pada 17 Mei lalu apabila 80,000 tiket konsert Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur pada 22 November depan ‘licin’ disambar dalam tempoh tiga jam.

Melihat kesediaan band itu beraksi enam malam di negara jiran, peminat tempatan masih menaruh harapan Coldplay dapat beraksi satu malam lagi di negara ini.

Sebelum ini peminat membuat petisyen dalam talian kepada Live Nation Malaysia, namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan lanjut walaupun penganjur seakan-akan memberi bayangan mahu merealisasikan permintaan tersebut.

Pada masa sama, susulan berita penambahan hari persembahan di Singapura, warganet tampil dengan aneka reaksi terutama menyentuh stamina vokalisnya, Chris Martin selepas beraksi enam hari berturut-turut.

Nama Chris Martin kini ‘trending’ dalam Twitter.

Selain Martin, kumpulan rock alternatif yang ditubuhkan pada 1996 itu turut dianggotai Johnny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion.

Mereka terlebih dahulu singgah di Taiwan, Jepun, Australia dan Indonesia bagi melengkapkan siri jelajah di Asia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI