fbpx

Mahkamah: “Hanya lafaz cerai pada Shuhada sekali” – Hafidz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafidz (tiga dari kiri) bersama peguamnya ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Pelakon Hafidz Roshdi memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini bahawa lafaz cerai yang dibuat terhadap isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, hanya berlaku sekali dan bukan dua kali.

Dalam keterangannya di mahkamah hari ini Hafidz, 29, berkata lafaz cerai itu hanya dibuat pada 22 Februari 2023 melalui perbualan telefon pada pukul 11.40 malam.

Katanya lafaz itu adalah “Saya ceraikan awak talak satu Nurul Shuhada Binti Mat Shukri,” katanya.

Menurut Hafidz ketika membuat lafaz dibuat, dia dalam keadaan waras, sihat berserta dengan niat yang mana ketika lafaz cerai itu dia berada di Shah Alam Selangor, manakala Shuhada berada di Perlis.

“Saya menafikan telah melafazkan cerai menggunakan aplikasi ‘WhatsApp’ pada Januari lalu sebaliknya hanya melafazkan cerai pada Februari, ” katanya.

Hafidz berkata demikian dalam keterangan lisannya pada perbicaraan pengesahan lafaz cerai di hadapan Hakim Syarie Siti Rahmah Hussin.

Sementara itu, Shuhada, 29, pula selaku defendan dalam keterangannya kekal dengan pendirian mengatakan Hafidz melafazkan cerai terhadapnya sebanyak dua kali.

“Kali pertama pada 22 Januari 2023 menggunakan aplikasi ‘WhatsApp’ iaitu “Saya lepaskan awak” manakala kali kedua pada 22 Februari melalui panggilan telefon,” kata Shuhada.

Mengulas lanjut Shuhada mengakui Hafidz melafazkan cerai buat kali pertama pada 22 Januari 2023 menggunakan telefon orang lain kerana telefon bimbit suaminya ketika itu hilang.

Manakala bagi lafaz cerai kali kedua, Hafidz menggunakan telefon bimbitnya sendiri.

Dalam prosiding hari ini Hafidz diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syuhada diwakili peguam syarie Nurfarhana Abd. Manaf.

Terdahulu Hakim Syarie Siti Rahmah menetapkan 27 Julai ini bagi keputusan pengesahan lafaz cerai itu.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah telah menetapkan hari ini sebagai perbicaraan selepas Akberdin ketika prosiding lalu memaklumkan terdapat isu berhubung lafaz cerai luar mahkamah yang didakwa berlaku sebanyak dua kali dan Nurfarhana tidak membantah untuk kes itu dibicarakan.

Akberdin memaklumkan Shuhada mendakwa suaminya ada melafazkan cerai lebih awal melalui aplikasi WhatsApp pada Januari lalu.

Menurut peguam syarie itu, pihaknya terkejut apabila melihat tuntutan balas kononnya Hafidz ada melafazkan cerai lebih awal iaitu pada 22 Januari lalu, sedangkan dalam permohonan cerai lafaz itu dibuat pada 22 Februari.

Kes penceraian itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Shuhada atau nama sebenarnya memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI