SIAPA sahaja yang bercinta pasti mempunyai niat untuk menghalalkan perhubungan.
Sama seperti pasangan selebriti merpati dua sejoli iaitu Alif Hadi dan Yasmin Hani yang mendedahkan hubungan rapat mereka sejak 2022.
Kini, mereka lebih terbuka berkongsi momen-momen romantis dalam media sosial sehingga ramai mendoakan Alif dan Yasmin segera berkunjung ke jenjang pelamin.
Doa tersebut ibaratnya ‘menekan’ Alif agar menikahi aktres itu secepat mungkin kerana tidak manis apabila mereka sering dilihat bersama tanpa ikatan yang sah sebagai suami isteri.
Namun, pemilik nama lengkap Muhammad Alif Abdul Hadi itu masih belum membuat keputusan untuk menamatkan zaman dudanya bersama Yasmin Hani.
Sebaliknya, dia lebih menumpukan perhatian untuk berubah supaya rumah tangga yang dibina lebih harmoni.

Katanya, dia tidak mahu kesalahan lama berulang daripada perkahwinan lalu yang dibina kira-kira enam tahun sebelum terlerai pada 2018.
“Saya memang masih cuba untuk ke fasa lebih serius tetapi saya masih belum membuat keputusan untuk soal tarikh lagi.
“Banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki. Perkahwinan ini adalah suatu keputusan yang harus dibuat dengan tepat.
“Bila tarikh perkahwinan? Bukan masanya lagi. Insya-Allah dipermudahkan secepat mungkin,” katanya kepada HibGlam.
Ditebak mengenai keadaan Alif ketika sering dihimpit pertanyaan mengenai perubahan status duda kepada suami orang, dia mengakui sedikit rimas sering diajukan soalan itu.
Bagaimanapun, pelakon berusia 35 tahun itu akur kerana berfikiran positif menganggap orang sekeliling mengambil berat tentang hal peribadinya.
“Sejujurnya saya rimas juga orang tanya berkenaan perkahwinan tetapi saya faham orang ambil berat.

“Perkara tersebut bukan terletak pada diri saya tetapi Tuhan yang akan tentukan segalanya kerana semuanya sudah tertulis.
“Saya cuma boleh berusaha dan merancang. Kalau ada tarikh, orang akan memberikan jangkaan tinggi,” katanya lagi.
Trauma
Menceritakan mengenai kisah lalu ketika berusia 22 tahun, Alif sudah berkahwin tetapi memilih untuk merahsiakan statusnya atas permintaan keluarga.
Perceraian mengajar Alif untuk lebih berwaspada untuk membuat keputusan menamatkan zaman dudanya bersama Yasmin lebih-lebih lagi pelakon wanita itu mempunyai dua orang cahaya mata.
“Mungkin saya ada sedikit trauma dengan masa lalu yang menyebabkan saya susah untuk mempercepatkan langkah seterusnya.
“Bagi saya situasi sekarang sudah berbeza daripada sebelum ini terutama sekali apabila ada anak-anak.
“Namun, tidaklah terlalu trauma sangat kerana saya lebih mahu membuat persediaan dengan lebih rapi,” ujar pelakon Bulan Dan Pria Terhebat itu.
Bapa ‘segera’
Alif tidak menafikan bahawa dia secara tidak langsung menjaga dan menjalinkan hubungan baik bersama anak-anak Yasmin.
Sebagai pasangan kepada Yasmin, aktor itu mengambil tugas sebagai seorang bapa untuk memantau dan menyayangi Noah dan Eissa sebaik mungkin.
“Menjadi figura ayah bukan senang sebenarnya. Jaga diri sendiri dan pasangan pun bukan senang.
“Saya memang suka budak-budak dan boleh melayan mereka. Tanggungjawab saya dalam masa sama untuk memantau mereka,” katanya menggulung bicara.














