fbpx

Perak Sejahtera 2030: Perak antara negeri paling banyak tarik pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani melihat ruang pameran di Pusat Konvensyen Ipoh sempena Majlis Sambutan Setahun Perak Sejahtera 2030 hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hari ini membentangkan kemajuan pelaksanaan setahun pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada 15 Jun tahun lalu.

Berucap di hadapan lebih 2,000 hadirin di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), Saarani membahagikan kejayaan pelaksanaan pelan itu kepada tiga sasaran utama iaitu Sejahtera Ekonomi, Sejahtera Sosial dan Sejahtera Politik.

Dalam aspek ekonomi, Saarani berkata, Perak berada pada landasan kukuh apabila merekodkan sebanyak 294 projek pelaburan yang diluluskan pada 2022 membabitkan pelaburan sebanyak RM6.6 bilion dengan RM2.28 bilion membabitkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang menawarkan 7,682 peluang pekerjaan.

“Bergerak ke hadapan, pelaburan di negeri Perak menyaksikan prospek yang amat memberangsangkan apabila suku kedua tahun 2023 kita berada antara empat negeri teratas yang menarik sebahagian besar pelaburan diluluskan iaitu RM7.1 bilion, peningkatan sebanyak 550 peratus berbanding RM1.3 bilion pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Dalam tempoh setahun, katanya, Perak menerima banyak pelaburan berimpak tinggi termasuk projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) bernilai RM32 bilion di Tanjung Malim, pembinaan kilang elektronik XP Power di Seri Iskandar (RM300 juta) dan pembinaan kilang memproses mineral di Silver Valley Technology Park (RM100 juta).

Dari aspek sosial, Saarani berkata, kerajaan negeri melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) telah mengadakan Jelajah Karnival Kerjaya Daerah Perak Sejahtera 2030 yang membabitkan 4,314 pencari kerja dengan disertai 148 industri dari seluruh negeri selain memudahkan pencari kerja melalui aplikasi Talent Perak.

Katanya, Perak turut meningkatkan prasarana jalur lebar termasuk mempercepatkan projek Jalinan Digital Negara (Jendela) selain telah membina 71 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) seluruh negeri Perak bagi menyediakan capaian internet secara kolektif kepada penduduk luar bandar.

Selain itu, katanya, pelaksanaan projek-projek tebatan banjir serta pembangunan infra rakyat termasuk pembinaan Jambatan Bagan Datuk-Sejagop bernilai RM460 juta telah pun mula beroperasi dan memberikan kemudahan akses laluan pengangkutan menghubungkan daerah Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.

Menurut beliau, inisiatif Tuisyen Cikgu Saaarani (TCS) kini telah diperluas dan berjaya meningkatkan pencapaian pelajar yang yang layak memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain Bantuan Sara Diri Mahasiswa dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa turut diperkenalkan dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

Beliau berkata, dalam aspek kesejahteraan politik, wakil rakyat kerajaan dan pembangkang kini diberikan peruntukan sama rata dengan kemudahan yang saksama selain membenarkan setiap wakil rakyat termasuk pembangkang menjadi anggota Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD), Jawatankuasa Focus Group Daerah, dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Bagi memastikan Perak Sejahtera 2030 dapat direalisasikan, dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa kerja diwujudkan bagi meyelaraskan pelaksanaannya bagi menjayakan 18 program flagship yang digariskan dalam Perak Sejahtera 2030,” katanya.

Saarani berkata, Perak turut tidak ketinggalan dalam melaksanakan pendigitalan kerajaan dengan memperkenalkan beberapa sistem dan aplikasi antaranya MyPatil iaitu Premis Perniagaan Digital, One Stop Centre 3.0 Plus Online (OSC 3.0 Plus) dan Park@Perak yang diguna pakai PBT sebagai alternatif tambahan pembayaran parkir kenderaan menggunakan kupon. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI