BANDAR RAYA NEW YORK – Satu laporan baharu menabalkan Bandar Raya New York sebagai ibu kota bilionair dunia kerana memiliki paling ramai individu ‘super kaya’ tersebut seramai 136 orang, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Senarai bandar yang dihuni bilionair itu dirangka oleh firma pengumpulan data, Altrata bersama syarikat penilaian kekayaan, Wealth X, berpandukan angka yang dikumpulkan pada tahun lalu.
Ibu negeri New York itu mendahului Hong Kong, Moscow dan London yang masing-masing menduduki tempat kedua, keempat dan kelima senarai berkenaan.
Dua lagi bandar raya di Amerika Syarikat iaitu San Francisco dan Los Angeles turut berada dalam 10 tempat teratas.
San Francisco dihuni oleh 84 bilionair, manakala Los Angeles mempunyai 58 bilionair dengan masing-masing berada di tangga ketiga dan ketujuh.
Laporan tersebut menyatakan bahawa bilangan bilionair di AS berkurang sebanyak 2 peratus, namun negara kuasa besar itu masih mendominasi kedudukan global. Data menunjukkan New York hilang dua bilionairnya antara 2021 hingga 2022.
Beberapa individu paling terkenal yang menetap di Bandar Raya New York termasuk bekas datuk bandarnya, Michael Bloomberg yang mempunyai kekayaan bersih AS$94.5 bilion (RM437.16 bilion), demikian menurut indeks kekayaan Forbes.
Bloomberg mengumpulkan sebahagian besar kekayaannya dengan menjadi pengasas bersama syarikat kewangan maklumat dan media menggunakan namanya sendiri pada 1981.
Dia disertai ‘wanita terkaya’ New York, Julia Koch yang mempunyai kekayaan bersih berjumlah AS$56.9 bilion (RM263.22 bilion). Julia mewarisi 42 peratus kepentingan dalam Koch Industries daripada suaminya, David Koch yang meninggal dunia pada 2019.
Bandar Raya New York juga terkenal dengan ‘Billionaire’s Row’ iaitu nama yang diberikan kepada kumpulan bangunan pencakar langit yang menyediakan kediaman ultramewah di selatan taman Central Park.
Dalam pada itu, San Francisco menjadi tumpuan bilionair kerana sektor teknologinya yang berkembang maju di Lembah Silikon.
Bandar raya itu dihuni ramai bilionair dan jutawan seperti pengasas Meta, Mark Zuckerberg dan Laurene Powell Jobs yang merupakan balu kepada pengasas Apple, Steve Jobs.
Bukan itu sahaja, kajian tersebut menunjukkan bahawa 16 bandar teratas dalam senarai itu menyumbang 26 peratus bilionair global.
“Buat pertama kali dalam tempoh empat tahun, rantau Amerika Utara mencatat penurunan dalam populasi bilionair dan kekayaan gabungan walaupun ia mengekalkan statusnya sebagai rantau bilionair utama,” kata beberapa penganalisis.
Secara keseluruhan, laporan itu menyatakan bahawa bilangan bilionair menurun disebabkan keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu.
Hanya dua daripada 15 negara kelompok teratas iaitu Singapura dan Russia merekodkan peningkatan populasi bilionair pada 2022. Semua negara lain menyaksikan bilangan bilionair masing-masing berkurangan.
Penyelidik juga mendapati hanya 12.5 peratus bilionair di seluruh dunia terdiri daripada wanita dan cuma 9.5 peratus bilionair yang berusia bawah 50 tahun.
Mereka yang berusia 50 tahun hingga 70 tahun menyumbang 48.2 peratus jumlah bilionair dunia, manakala golongan berumur 70 tahun ke atas pula mewakili 42.2 peratus.
Data itu dikeluarkan selepas statistik menunjukkan bahawa lapan lelaki terkaya di AS menyaksikan kekayaan mereka merosot hampir AS$400 bilion (RM1.85 trilion) pada 2022. – Agensi