DARIPADA ‘puteri kota’ menjadi Rock Queen, dialah Ella! ratu rock sejati! Sebaik sahaja satu-satunya figura bernama Ella melangkah naik pentas, gemuruh atmosfera Axiata Arena Bukit Jalil sejak awal terus bertukar marak menjadi gelanggang fiesta rock bahkan barangkali penanda aras buat sebuah penganjuran konsert mega tahun ini.
Aksi Ella dalam Konsert Jilid Akhir Ella: Puteri Kota ternyata mencetuskan magis tersendiri sehingga membuatkan lebih 10,000 hadirin pada malam pertama dan 12,000 (malam kedua) khayal dibuai seleksi malar segar sejak Ella diperkenalkan pada 1983 sehingga kini.
Sememangnya tempoh 35 tahun berkarya dalam arena muzik tanah air membuatkan figura berwatakan manja itu matang sekali gus berada dalam liga tersendiri, bahkan sukar ditandingi, tiada galang ganti.
Tepat pukul 8.30 malam, kemunculan Nor Zila Aminuddin disambut dengan jeritan peminat yang sudah lama kehausan hiburan langsung daripada idola mereka.
Tampil dengan aura rock & roll hijabista, penyanyi bersuara serak basah itu mengenakan tiga busana sepanjang konsert berlangsung.
Jujur, konsert yang berdurasi tiga jam itu sedikit pun tidak mencetuskan kebosanan sehingga perlu melirik jam tangan atau berharap persembahan segera selesai, sebaliknya tenaga penonton membangkitkan lagi gelora jiwa rock yang berlegar memenuhi gelanggang.

Seumpana membawa khalayak ke terowong masa apabila penyanyi berusia 56 tahun itu menyampaikan dendangan.
Antara repertoire persembahan adalah lagu Puteri Kota, Menanti, Ala Amerika diikuti dengan lagu-lagu hitsnya yang pernah mencipta fenomena seperti Sembilu, Pengemis Cinta dan Tiada Tangis Lagi.
Ella melantunkan sebanyak 35 dendangan yang kesemuanya mewakili 35 tahun kebangkitan figura tersohor itu dalam arena muzik tanah air.
Tidak terhenti di situ, momentum konsert dimantapkan lagi persembahan duet bersama Datuk Amy Search yang menyuntik adrenalin sebaik mereka mendendangkan lagu ‘evergreen’ berjudul Dua Insan Bercinta.

Kemunculan Amy di atas pentas merupakan kejutan buat penonton yang datang lantas disambut sorakan ramai yang bagai histeria melihat dua legenda rock berkongsi pentas sama.
Aksi bertenaga dua ikon rock negara itu sudah pasti memahat sejarah tersendiri apabila masing-masing ‘bertempur’ dan bersinergi di pentas gah tersebut menjadikan malam penuh kenangan buat penonton yang hadir.
Ella juga sempat melantunkan lagu duet bersama suami tercinta, Azhar Ghazali menerusi lagu Peace Love Rindu. Usai nyanyian, Azhar meninggalkan pentas dengan memberi kucupan mesra di pipi Ella yang membuatkan ribuan penonton bersorak ‘manja’.

Bertenaga
Meniti usia mencecah lebih lima dekad, Ella tidak sedikitpun menunjukkan kepenatan mahupun semput ketika bernyanyi. Malah tenaga yang ditampilkan di atas pentas layaknya seperti tenaga seorang anak gadis 20-an.
Disoal apakah rahsia untuk kekal tenaga seperti orang muda, tidak banyak rutin diamalkan penghibur berusia 56 tahun itu.
“Untuk mendapatkan stamina sebegini, saya melakukan senaman secara konsisten selain kekal bersemangat ketika di atas pentas,” ujarnya ketika sesi bersama media usai konsert.
Maka tidak hairan, setiap kali penyanyi awet muda itu meneruskan nyanyian, energi dan staminanya langsung tidak menurun malah kekal bertenaga sehingga ke akhir konsert.
Telatah manja dan bersahaja Ella tentu sahaja membuat peminat tidak kira seberapa usia, jatuh cinta dan kekal menyokongnya sehingga ke hari ini.

Cipta rekod baharu
Penganjuran Konsert Jilid Akhir Ella: Puteri Kota turut melakar sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 Tickets in 24 Hours daripada Malaysia Book of Records.
Menzahirkan rasa bangga, Ella berterima kasih kepada pihak yang memberikan penghormatan kepadanya dan menjelaskan bahawa ini bukanlah konsert penamatnya sebagai anak seni seperti dakwaan ramai.
“Saya menghargai dan berbangga atas penghormatan dan penghargaan serta sokongan daripada peminat dan kerana itu saya ucapkan terima kasih,” ujarnya.
“Ini bukan konsert terakhir saya, sebaliknya cerita mengenai konsert ini akan menjadi pelengkap jilid terakhir dalam buku saya yang akan dikeluarkan nanti,” katanya.
Sebelum ini, wanita kelahiran Pulau Pinang itu pernah diiktiraf Malaysia Book of Records selepas membuat persembahan diiringi 200 orang pemuzik pada 2019. Ella ketika itu meleburkan rekod dipegangnya sendiri yang dicipta pada tahun 2016.

Relevan
Terkesan dan beremosi dengan sambutan hangat penonton yang menyapu licin semua tiket untuk dua malam berturut-turut, Ella kehilangan kata-kata.
Hanya ungkapan terima kasih dan I love you yang berulang kali terbutir dari bibir tanda penghargaan penghibur kesayangan ramai itu buat peminat.
Biarpun tidak banyak ‘berucap’, celoteh manjanya sudah cukup menghiburkan lautan penonton yang datang.
Tidak hairan ramai rakan selebriti enggan melepaskan peluang mengikut malam bersejarah tempoh hari, antaranya Datuk Sheila Majid, Datuk Hans Isaac, Ziana Zain, Noryn Aziz, Nourul Wahab, Misha Omar, Rozita Che Wan, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Hattan, Datuk M. Nasir dan ramai lagi.
Penutup persembahan dengan lagu Standing In The Eyes Of The World menjadi lagu ‘sing along’ penonton yang sebati melumati lirik dan melodi sekian banyak masa. Nuri dan Permata Pemotong Permata pula menjadi penutup yang manis konsert gilang gemilang itu.
Benar bagai dikata ramai orang, letaklah sebaris penyanyi lain, aura yang ditinggalkan mereka tidak pernah sama dengan legasi penghibur legenda berperwatakan manja seperti Ella.















