fbpx

KKM jalan kajian baharu semak keperluan sumber manusia kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan satu kajian baharu pada tahun ini bagi menyemak semula keperluan sebenar negara dalam pelbagai kategori sumber manusia untuk kesihatan.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kajian baharu itu dibuat sebagai langkah menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu meneruskan tajaan dalam bidang perubatan, pergigian serta farmasi.

Menurutnya, kajian itu akan mengambil kira impak polisi baharu yang diperkenalkan selepas tahun 2016 dan juga keperluan kesihatan rakyat.

“Dengan ini, taburan dan keperluan anggota kesihatan untuk seluruh negara dapat dipetakan dan diunjurkan dengan jelas.

“Ia juga akan menjadi ‘evidence-base’ ke arah penyediaan pelan implimentasi bagi strategi dalam Kertas Putih Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, pelan jangka panjang itu bertujuan memastikan penduduk mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

“Justeru, KKM akan terus berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan dasar dan perancangan kesihatan yang dirangka adalah bertepatan dengan keperluan rakyat,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai tenaga kerja kesihatan, Dr. Zaliha berkata, sumber manusia itu memainkan peranan penting dalam memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk rakyat.

“Oleh itu, KKM memberi penekanan terhadap perancangan sumber manusia holistik dan strategik bagi memastikan bekalan pekerja kesihatan mencukupi.

“Keputusan JPA menghentikan tajaan bidang perubatan, pergigian dan farmasi merupakan dasar lalu yang dibuat berpandukan dapatan Supply and Needs-Based Requirement Projections of Malaysian Human Resources for Health Using System Dynamics Approach 2016-2030.

“Kajian itu dikatakan menunjukkan unjuran bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran (oversupply) mulai tahun 2026 hingga 2030,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, kajian itu berdasarkan data dari tahun 2008 hingga 2015 selain kurang menggambarkan situasi semasa.

“Unjuran tenaga kerja kesihatan boleh ditambahbaik dengan mengambil kira perubahan dasar kerajaan yang berlaku selepas 2015 dan keperluan kesihatan pasca Covid-19.

“Ia turut melibatkan perubahan beban penyakit, perkembangan teknologi perubatan dan keperluan perkhidmatan mengikut bidang kepakaran di sektor awam dan swasta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI