fbpx

Sarawak mahu bina velodrom kelas dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VELODROM Nasional di Nilai sipa dibina pada 2017 dengan kos kira-kira RM80 juta dan mempunyai trek kayu sepanjang 250 meter.

PUTRAJAYA – Sarawak bercadang untuk membina sebuah velodrom berstatus antarabangsa lebih ‘gah’ berbanding Velodrom Nasional dibangunkan di Nilai, Negeri Sembilan.

Perkara tersebut didedahkan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usaha­wan Sarawak merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) di Putrajaya semalam.

Katanya, pembinaan velodrom tersebut dijangka bermula tahun depan dan bakal dibina di dalam Kompleks Sukan Negeri Sarawak dengan mengikut standard antarabangsa.

“Sarawak mempunyai kompleks sukan terbesar di negara ini. Kompleks tersebut mempunyai dua stadium, akuatik, lapangan menembak dan kami juga sedang membina padang ragbi serta kriket.

“Ia akan menjadi velodrom tertutup, sama ada permukaan trek akan menjadi kayu atau tidak kami masih belum memutuskan. Kami akan mendapatkan nasihat pakar mengenainya nanti.

“Seboleh-bolehnya kami mahukan velodrome seberguna tetapi standardnya akan sama dengan Velodrom Nasional di Nilai atau mungkin lebih baik daripada itu.

“Pembinaan akan bermula tahun depan, jadi mustahil ia siap tepat pada masanya untuk Sukma Sarawak 2024,” katanya.

Ketika ditanya mengenai anggaran bajet keseluruhan untuk membina velodrom tersebut, Karim enggan mendedahkan kos tersebut walaupun yakin pembiayaan tidak akan menjadi masalah.

“Saya tidak bermaksud untuk sombong tetapi apabila bercakap mengenai belanjawan, kami tidak mempunyai sebarang masalah,” tambahnya.

Karim mendedahkan bahawa kerajaan negeri itu telah menerima beberapa cadangan daripada kontraktor sejak Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan rancangan untuk membina velodrom tahun lepas.

Velodrom Nasional siap dibina pada 2017 dengan kos kira-kira RM80 juta dan mempunyai trek kayu sepanjang 250 meter. Ia adalah velodrom dalaman homologasi UCI yang mampu menganjurkan pertandingan antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI