HAMPIR tiga dekad mendedikasikan hidup bergelar penyanyi, kehebatan Noryn Aziz dalam gelanggang muzik tidak perlu diperdebatkan.
Bertahun-tahun memperjuangkan irama pop dan jazz, Noryn selayaknya berada dalam kelompok terbaik dan berkelas tersendiri.
Meskipun begitu, dia sentiasa percaya rezeki untuk populariti kekal dalam dakapannya bukan satu hal yang mudah. Semua itu perlu hadir dengan usaha berterusan.
Menebal dengan keperibadian membumi, kata Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abdul Aziz itu, populariti seharusnya hadir seiring dengan kualiti yang dipersembahkan.

Dalam masa sama, dia tidak pernah menolak, elemen gimik yang banyak dipraktikkan selebriti zaman sekarang mampu membantu melariskan produk jualan, termasuk lagu baharu.
Gimik
“Cerita mengenai gimik ini bukan perkara baharu untuk dibualkan dan sering kali diajukan dengan soalan sama sebab ramai anggap saya kurang menonjol dan perlukan ‘sesuatu’.
“Hakikatnya, saya tidak menolak elemen tersebut tetapi sebagai seorang yang menjaga kualiti, perkara itu perlu dilaksanakan dengan cara yang tidak merosakkan kerjaya seni saya,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.
Kata wanita berusia 47 tahun itu, populariti seseorang atau sesebuah lagu tidak hanya bergantung kepada kejayaan gimik tetapi harus dinilai berdasarkan kualiti.
“Sukar sebenarnya nak cetuskan gimik, silap percaturan akan makan diri.
“Jadi, selain kualiti, saya kini akan pastikan karya yang dilancarkan bersesuaian dengan jiwa pendengar masa kini.

“Jika mereka mahu lagu disko, kita suap. Itu sahaja cara untuk tambat jiwa pendengar zaman sekarang, namun semuanya tetap bergantung kepada rezeki dari Allah SWT,” ujar penyanyi yang pernah popular dengan lagu Fantasi O Realiti itu.
Tutup cerita gimik, adrenalin Noryn kini dipacu keterujaan soal penghasilan single baharunya berjudul Kau hasil ciptaan bersama seorang komposer muda bernama, Indra.
Kau terlalu istimewa
Ujarnya, Kau sebuah karya yang terlalu istimewa, juga tanda kemunculan semula diirinya mewarnai persada seni tanah air selepas beberapa tahun menyepi tanpa sebarang buah tangan baharu buat peminat.
“Saya sudah rekod Kau pada pertengahan tahun lalu tetapi disebabkan terlalu banyak kerisauan, pelancaran lagu ini kerap ditunda, termasuk kerana fasa pandemik dan masalah peribadi.
“Ini lagu ‘comeback’ dan pastinya saya mahu memberikan 200 peratus usaha dan jiwa terhadapnya.
“Lagu bergenre pop disko ini sudah menemui peminat yang sudah lama menanti sesuatu daripada saya,” tutur juara Gegar Vaganza musim kelima (GV5) itu.
Memilih irama pop disko, Noryn megakui, genre tersebut dipilih bagi menyesuaikan dan menarik minat generasi muda hari ini.
Biarpun bertaraf penyanyi senior, muziknya tetap perlu mengikut peredaran zaman dan seiring kehendak pendengar.

“Semua orang mahu menyanyi genre balada dan saya perlu mencari kelainan iaitu dengan pop disko. Walaupun bukan forte saya, namun tetap mencabar diri.
“Dengar seperti catchy dan senang tetapi bukan mudah nak menyanyi dance music sebegini. Energi perlu mantap.
“Selain itu, dalam muzik, kita harus sentiasa membumi dan sedar ruang serta minat orang. Jangan terlalu syok sendiri,” kongsinya.
Ditanya mengenai rujukan pemilihan pop disko, Noryn mengakui banyak terinspirasi daripada muzik yang diperjuangkan penyanyi generasi kini.
Jelasnya, tidak salah pun untuk penyanyi yang sudah berpuluh tahun bekerja mengambil ilham daripada pendatang baharu.
“Saya gembira melihat warna-warni industri muzik hari ini dengan kemunculan banyak bakat baharu.
“Untuk memastikan diri relevan, kita perlu letak warna yang berbeza.
“Selain itu, muzik kita juga boleh beri inspirasi kepada artis muda dan sebaliknya,” kata anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu.
















