PETALING JAYA – Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF), yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan pelaburan bersama, terus menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam usahanya untuk menggalakkan akses lebih besar kepada pasaran modal dan keterangkuman dalam segmen yang kurang mendapat perkhidmatan.
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, jumlah dana yang diperoleh daripada pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (peer-to-peer financing (P2P) telah meningkat sebanyak RM300 juta kepada RM1.7 bilion daripada 2021.
“Pertumbuhan sebanyak 26 peratus tahun ke tahun ini menunjukkan bahawa minat pelabur dan perniagaan yang semakin meningkat terhadap pasaran pembiayaan alternatif.
“Daripada jumlah itu, MyCIF melabur bersama sebanyak RM282 juta berbanding RM193 juta pada 2021. Ini mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam pasaran ECF dan pembiayaan P2P,” katanya yang mengulas mengenai laporan tahunan 2022 di sini hari ini.

Awang Adek menerangkan, model pelaburan bersama MyCIF melalui platform pembiayaan alternatif adalah yang pertama seumpamanya ditubuhkan di Asia Tenggara oleh MoF dalam Bajet 2019.
MyCIF juga berjaya mencapai lebih banyak perusahaan dalam segmen yang kurang mendapat perkhidmatan (underserved) pada 2022.
Pada tahun tersebut, MyCIF telah melancarkan initiatif khas untuk melabur dalam perusahaan yang berteraskan pertanian pada nisbah 1:2.
Tambah beliau, hasilnya, perusahaan pertanian yang meraih dana dalam platform ECF dan P2P melonjak hampir empat kali ganda, tambahan 28 peratus daripada dana MyCIF telah disalurkan ke kawasan luar Lembah Klang, peningkatan daripada hanya 21 peratus pada 2021.

“MyCIF telah terbukti memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan pendanaan ECF dan pembiayaan P2P.
“Kira-kira 10 kali lebih banyak firma telah mengumpul dana melalui platform ECF dan P2P sejak penubuhan MyCIF,” ujar beliau.
Menjelang 2022, sejumlah RM638 juta telah dilaburkan bersama dalam hampir
35,000 kempen pembiayaan ECF dan P2P yang memanfaatkan kira-kira 3,635 PMKS
di Malaysia.
Sejak penubuhannya, MyCIF telah menjana pulangan bersih positif ke atas modal sebanyak RM16.5 juta dan sehingga akhir 2022, ia telah menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM230 juta, dengan tambahan RM40 juta diperuntukkan dalam Bajet 2023.
Memasuki tahun 2023, MyCIF akan menggalakkan lebih banyak inovasi dalam bidang yang telah dikenal pasti sebagai bidang strategik kepada ekonomi Malaysia. -KOSMO!ONLINE














