fbpx

Ikat ahli keluarga sebelum rompak, enam penyamun diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan dipercayai hasil rompakan sekumpulan suspek yang ditahan, semalam.

SUBANG JAYA – Tindakan enam individu terlibat dalam rompakan di sebuah rumah dengan mengikat mangsa sebelum melarikan beberapa barang berharga terbongkar dalam serbuan di Puchong, Selangor dan Senawang, Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada mangsa menyatakan rumahnya dimasuki oleh dua suspek, Ahad lalu.

Katanya, suspek yang berpakaian topeng muka mengikat mangsa bersama ahli keluarganya sebelum melarikan sejumlah barang-barang berharga termasuk sebuah kereta jenis Honda City yang dianggarkan keseluruhan kerugian RM60,000.

“Bagaimanapun tiada kecederaan dilakukan terhadap mangsa. Terdapat ‘swabbing’ peluh di tempat kejadian dan telah dihantar ke jabatan kimia untuk dianalisa.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak di atas maklumat, Wan Azlan berkata, sepasukan anggota polis dari Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya berjaya menangkap empat lelaki serta dua wanita tempatan berusia 27 hingga 32 tahun.

Menurut beliau, kesemua tangkapan itu dilakukan di Senawang, Negeri Sembilan dan di Putra Perdana, Puchong, Selangor, semalam.

“Barangan dirampas adalah dua bilah pisau, pakaian suspek, satu unit pemutar skru serta sarung tangan, manakala kesemua barangan mangsa termasuk sebuah kereta jenis Honda City yang dilarikan suspek turut ditemui dan dirampas.

“Modus operandi suspek adalah memakai topeng muka dan mengguna senjata pisau ketika masuk ke rumah, suspek turut mengikat mangsa dan ahli keluarga menggunakan kabel telefon dan tali pinggang sebelum melarikan barang berharga,” ujarnya.

Wan Azlan memberitahu, kesemua mereka mengaku terlibat dalam kes ini dan ditahan reman selama lima hari kerana dipercayai terlibat dengan beberapa kes di Subang Jaya serta beberapa kawasan lain.

“Justeru itu, orang ramai yang mempunyai maklumat digesa untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Dinesh Ganasan di talian 011-33093357 atau 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya),” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI