KUALA LUMPUR – Nestle (Malaysia) Berhad (Nestle) komited terhadap segmen pembekalan produk keluaran khususnya Maggi mendapat pensijilan halal dan rangkaiannya juga kukuh bagi memastikan kepelbagaian bahan segar yang digunakan adalah yang bermutu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, syarikat memiliki jabatan halal yang kuat dan telah bertapak lama untuk memantau, mengendalikan segala isu serta permasalahan serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Menurut beliau, jabatan itu juga telah banyak melakukan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mendidik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai amalan dan keperluan halal.
“Nestle Malaysia merupakan salah satu hab pengeluaran bagi produk halal yang terbesar buat Nestle pada peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran varian mi segera Maggi terbaharu, iaitu Maggi Mi Goreng Laksa Warisan yang meraikan kecintaan rakyat kepada laksa sambil memberi penghormatan kepada warisan masakan bangsa yang pelbagai.

Produk dengan inovasi baharu itu direka teliti dengan adunan bahan aromatik termasuk bunga kantan, daun kesum, lengkuas, bawang besar, daun limau purut, serai, bawang putih dan halia yang dimasak perlahan dalam pes sehingga ‘pecah minyak’ untuk menyampaikan rasa tersendiri hidangan ikonik laksa.
Sementara mi pula diperbuat daripada 100 peratus gandum Australia, juga merupakan sumber protein dan karbohidrat yang baik.
Aranols menjelaskan, produk baharu itu bukanlah sekadar untuk jangka masa terhad, sebaliknya merupakan penawaran kekal dan menjadi sebahagian daripada rangkaian mi goreng Maggi yang telah mendapat sambutan menggalakkan sejak mula-mula diperkenalkan beberapa tahun lalu.
“Dalam keadaan biasa kami mempunyai beberapa pelancaran baharu setiap tahun dan jenama Maggi memiliki kekuatan tersendiri di negara ini dan memiliki hubungan baik dengan cita rasa rakyat Malaysia.

“Ia mula-mula diperkenalkan untuk pasaran tempatan dan mungkin sekali akan dieksport ke Singapura.
“Produk (makanan) Malaysia mendapat permintaan tinggi di mana-mana sahaja dan semakin popular di banyak negara dan tiada sebabnya Maggi Mi Goreng Laksa Warisan tidak akan dieksport bagi pelan perancangan masa depan,” katanya pada majlis pelancaran produk tersebut, di sini baru-baru ini.
Menurut Aranols, ditawarkan pada harga sekitar RM8 untuk pek lima bungkus, Maggi Mi Goreng Laksa Warisan secara relatifnya mampu milik dan mampu diakses oleh semua yang ingin mencubanya.
“Maggi sememangnya memiliki produk yang lebih kukuh seperti Maggi Kari, namun pelanggan kini semakin sofistikated dan selalu ingin mencuba sesuatu yang baharu, produk ini memberikan mereka sesuatu yang mengujakan dan menarik buat pelanggan,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE














