fbpx

Kanak-kanak dua tahun didera kekasih ibu disahkan selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kecederaan yang dialami kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang didera suspek di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rajang, Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Kanak-kanak berusia dua tahun yang dipercayai didera oleh seorang individu baru-baru ini kini dilaporkan sedang menerima rawatan selepas dibawa ke hospital bersama ibunya.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan berkata, kanak-kanak itu juga disahkan berada dalam keadaan selamat.

Katanya, suspek kini dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain kementerian yakin bahawa siasatan terperinci terhadap pesalah kes penderaan dan salah laku kanak-kanak akan dijalankan.

“KPWKM amat memandang serius kes penderaan itu seperti yang tular di laman media sosial baru-baru ini.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak selaras dengan Akta Kanak-kanak 2001.

“Kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan semua jabatan serta agensi bawah KPWKM akan terus memberikan pemeliharaan dan pelindungan sewajarnya kepada kanak-kanak,” katanya tadi.

Pada masa sama, KPWKM sentiasa meningkatkan kesedaran dalam usaha melindungi kanak-kanak melalui kerjasama dengan pelbagai pihak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kes penderaan boleh terus menghubungi Talian Kasih di talian 15999 atau nombor WhatsApp 019-2615999 atau terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) terdekat bagi mendapatkan bantuan segera.

Terdahulu, seorang lelaki yang dipercayai mendera anak teman wanitanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur berjaya ditahan polis malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan D. Saralathan berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di sebuah pangsapuri di Jinjang, Sentul.

Media sebelum ini melaporkan, polis menerima maklumat berhubung penderaan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun selepas dipercayai dipukul kerana bising.

Kejadian itu menyebabkan mangsa bengkak pada bibir dan lebam kedua-dua mata serta bahagian belakang badan. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI