BAGAI pinang dibelah dua, sekali pandang keakraban antara Hariz Hamdan dan Amy Nur Tinie tidak ubah seperti pasangan kekasih.
Tidak hanya mengambil berat dan saling mengusik antara satu sama lain, malah di luar waktu kerja sebagai pelakon mereka juga kerap ‘live’ bersama dalam media sosial.
Justeru, apabila kedua-dua mereka diberi kepercayaan memegang watak sebagai pasangan kekasih iaitu Fiq dan Sofea dalam filem sulung mereka berjudul Jemputan Ke Neraka, tawaran tersebut diterima dengan hati yang terbuka.
Menurut Tinie yang juga seorang bekas ratu cantik dan pengacara, sepanjang penggambaran dia dan Hariz tidak kekok sekali gus mudah menjalin sinergi.
“Saya dan Hariz memang saling mengenali sebelum penggambaran filem lagi, kami pernah berlakon bersama dalam sebuah drama tetapi bukanlah jadi kekasih.
“Berlakon dengan orang yang kita rapat menjadi mudah. Hariz juga memberi kerjasama yang baik meskipun wataknya agak berat,” ujar Tinie.
Sambung Tinie, 27, walaupun Hariz muda enam tahun daripadanya, demi mengekalkan ‘mood’ watak, Hariz menjadi ‘kekasihnya’ sepanjang di set penggambaran filem arahan Amor Rizan itu.

Namun, disebabkan sikap Hariz, 21, yang lebih matang daripada usia sebenar malah, sangat penyayang, adakalanya niat baik itu disalah erti sebagai cinta mahupun suka.
“Jika orang yang tidak biasa dengannya pasti akan tersalah anggap ingat dia suka atau jatuh cinta dengan wanita itu.
“Walhal sikap lelaki budiman itu sememangnya diri Hariz. Dia akan melayan baik semua wanita tidak kiralah saya mahupun orang lain. Jangan cair atau terjatuh cinta dengan dia sudahlah.
“Secara peribadi saya tidak kisah kalau kekasih lebih muda asalkan bersikap matang. Umur sekadar angka yang paling penting hati dan kematangan seseorang,” tutur Tinie sambil ketawa.

Solekan: @Fazrinwahid
Busana: Tinie @michealkors
Sut: Hariz @zaloramy
Hormat Hariz
Sementara itu, Hariz yang juga bekas peserta pertandingan Hero Remaja 2020 mendedahkan, sejak kecil dia telah dididik untuk menghormati orang sekeliling termasuk wanita tidak kira di mana sahaja dia berada.
Disoal tentang peribadi mudah mesra yang membuatkan orang tersalah sangka menganggap dia menyukai atau jatuh cinta, Hariz hanya ketawa panjang.
Kata Hariz, pandangan setiap orang berbeza-beza dan dia tidak mampu untuk mengawal perasaan orang terhadapnya.
“Jika ada mana-mana wanita tersalah erti dengan layanan baik saya dan menyangka saya menyukai mereka terpulanglah.
“Kalau wanita sukakan lelaki yang ‘caring’ mereka pasti akan tertarik dan jika ada pelakon gandingan yang tersuka pada saya, pandai-pandailah kawal perasaan sendiri. Itu bukan masalah saya kerana di set penggambaran saya hanya komited untuk bekerja,” luah Hariz jujur.
Berkongsi lanjut pengalaman bergandingan dengan Tinie, Hariz mengakui dia cukup senang bekerja dengan wanita kelahiran Ipoh, Perak itu.
“Dia matang, dia berfikiran terbuka dan amat menghormati orang sekelilingnya.
“Jadi, apabila saya mendapat tahu akan bergandingan sebagai kekasihnya dalam filem ini saya berasa lega. Keserasian kami memang tidak dibuat-buat sebab kami berdua memang berkawan baik,” ujar Hariz.

Jemputan Ke Neraka
Berkongsi lanjut tentang penglibatannya dalam filem terbitan Datin Anne Ngasri menerusi produksi AN Universal Sdn. Bhd., Hariz amat bersyukur diberi kepercayaan.
“Alhamdulillah ini tahun ketiga saya dalam industri lakonan dan Jemputan Ke Neraka merupakan filem pertama saya yang akan ditayangkan di pawagam.
“Sejujurnya, sewaktu mendapat tawaran filem ini saya agak terkejut kerana cerita sangat berbeza daripada karya yang pernah saya lakonan.
“Saya masih kerdil dan saya membuat persiapan selama tiga bulan sebelum penggambaran,” tutur Hariz.
Harap tuah – Tinie
Sementara itu, Tinie yang mula berlakon sekitar tiga tahun lalu berharap kariernya dalam bidang lakonan akan berkembang.
“Saya bermula sebagai peserta ratu cantik, selepas itu saya aktif sebagai pengacara untuk program kewanitaan iaitu Tumit Tinggi di RTM yang telah pun memasuki musim kesembilan.
“Setakat ini saya telah berlakon sebanyak tiga buah filem dan 18 buah drama. Jika di pentas ratu cantik ramai orang mengenali saya, tetapi lakonan saya merupakan orang baru,” kongsi Tinie.
Walaupun Tinie merupakan pendatang baru dalam dunia lakonan, tiada lain yang diharapkan melainkan kejayaan untuk filem Jemputan Ke Neraka.
“Saya mencuba jika lakonan saya tidak menepati kehendak penonton untuk filem ini saya akan ambil perkara tersebut sebagai cabaran,” luah Tinie menggulung perbualan.
Filem Jemputan Ke Neraka yang bakal menemui penonton di pawagam pada 22 Jun ini turut dibintangi Janna Nick dan Sharifah Sakinah.















