fbpx

[VIDEO] Jurujual wanita mengaku tidak bersalah curi rantai budak di Jom Heboh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Zannah dibawa anggota polis ke Mahkamah Majisret Shah Alam, hari ini. -Foto SADDAM YUSOFF/KOSMO!

SHAH ALAM – Seorang jurujual wanita yang tular mencuri rantai leher kanak-kanak di sebuah tapak karnival mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Majistret, hari ini.

Tertuduh, Nor Zannah Andi Baso, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada seorang anak itu bersama seorang yang masih bebas didakwa mencuri seutas rantai emas milik anak saudara seorang wanita berusia 26 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di tapak Karnival Jom Heboh, Stadium Shah Alam, Seksyen 13, kira-kira pukul 5.39 petang, Sabtu lalu.

Pendakwaan kes dijalankan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zafirah Syed Mustapa menawarkan kos ikat jamin tertuduh berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan bagi serahan dokumen kes.

Bagaimanapun, Peguam Oon Guo Chen yang mewakili Nor Zannah memohon pengurangan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan seorang bayi perempuan berusia tiga bulan.

“OKT (tertuduh) baru saja bersalin dan risiko untuk dia melarikan diri adalah rendah,” jelasnya.

Nur Faizah membenarkan kos ikat jamin RM3,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Ogos depan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang wanita diberkas hasil rakaman video tular pengunjung yang menyedari kejadian menimpa kanak-kanak perempuan berkenaan.

Siasatan awal mendapati ketika kejadian karnival Jom Heboh itu dihadiri ramai orang dan rantai leher mangsa dipercayai dipotong dengan sesuatu objek sebelum ditarik serta dicuri. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI