fbpx

Dewan Rakyat: Dua syarat pengecualian subsidi jemaah rayuan haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Naim pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) menetapkan dua syarat bagi jemaah B40 yang membuat rayuan di luar giliran untuk menerima subsidi atau Bantuan Kewangan Haji.

Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, bagaimanapun, individu yang membuat rayuan perlu membuat bayaran penuh sebanyak RM30,850 kerana dianggap berkemampuan untuk menunaikan haji.

Menurut Naim, antara syarat yang dikenakan adalah individu yang membuat rayuan itu merupakan mahram atau pengiring kepada jemaah haji yang mendapat giliran tahun ini.

“Contohnya jika suami mendapat giliran tetapi isteri tertinggal. Kalau dia buat rayuan dan suaminya dalam golongan B40, maka isteri itu akan mendapat kelayakan subsidi atau bantuan kewangan haji.

“Kedua, mereka yang buat rayuan itu menjadi pengiring. Contohnya, jemaah yang mendapat giliran haji sudah tua dan uzur kesihatannya dan perlukan pengiring, maka pengiring itu akan mendapat bantuan kewangan haji,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai) sama ada kerajaan akan memberi kelonggaran kepada individu golongan B40 yang membuat rayuan haji di luar giliran.

Mengulas berkaitan kriteria digunakan dalam penetapan jemaah haji B40, M40 dan T20, beliau memaklumkan TH mengenal pasti jemaah kumpulan B40 dan M40 berdasarkan senarai penerima Sumbangan Tunai Rahmah daripada kerajaan.

Katanya, jemaah kumpulan T20 pula dikenal pasti berdasarkan pendapatan individu bulanan melebihi RM15,000 dan bukan berasaskan pendapatan isi rumah.

“Bagi musim haji 1444H/2023M, sebanyak 45.7 peratus yang terpilih adalah jemaah haji kumpulan B40, 52.3 peratus jemaah haji M40 dan dua peratus kumpulan T20.

“Justeru, pemberian Bantuan Kewangan Haji secara bersasar dapat membantu TH menampung perbelanjaan kos operasi haji keseluruhan bagi memastikan kelestarian kewangannya untuk masa hadapan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI