PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melakukan kunjungan mengejut ke atas Kamala Das yang baru-baru ini menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 tahun.
Istana Negara dalam satu kenyataan di Facebook berkata, Seri Paduka Baginda berdua telah berkenan meluangkan masa di rumah Kamala Das di Taman Utama Ampang, Ampang, Selangor selama sejam bermula pada pukul 11.30 pagi tadi.
Selain bertanya khabar dan beramah mesra dengan beliau dan keluarga, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menzahirkan ucapan tahniah serta mengucapkan selamat secara peribadi kepada Kamala sempena ulang tahun hari kelahirannya yang jatuh pada hari ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Isnin lalu.
Seterusnya, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan sempena ulang tahun hari kelahiran beliau.
Menurutnya lagi, Kamala Das dilahirkan pada 5 Jun 1923 di Tapah, Perak dan merupakan ibu kepada bekas wartawan sukan, Datuk George Das.
Kamala dikurniakan 11 orang cahaya mata, 21 cucu dan 21 cicit manakala suaminya, GA Das telah meninggal dunia ketika di usia 62 tahun pada tahun 1972. – KOSMO! ONLINE.