fbpx

10 tahun Orang Asli susah cari makan angkara balak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AYUN menunjukkan hasil getah yang menjadi sumber pendapatan keluarganya di Kampung Pasir Linggi, Gua Musang selepas tidak lagi mencari rezeki di hutan.

GUA MUSANG – Lebih 100 keluarga masyarakat Orang Asli suku kaum Mendriq dan Bateq di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini mendakwa pendapatan mereka terjejas apabila semakin sukar untuk mendapat sumber hutan sejak 10 tahun kebelakangan ini.

Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, masalah itu dipercayai berpunca daripada kegiatan perlombongan, perladangan dan pembalakan di kawasan berhampiran kampung mereka sehingga menyebabkan hasil hutan sebagai sumber rezeki semakin merosot.

Katanya, penduduk Orang Asli terpaksa mencari sumber hutan di kawasan agak jauh lebih 100 kilometer dari kampung untuk ke kawasan hutan yang terletak antara sempadan negeri Kelantan dan Terengganu.

“Hutan di kawasan Kampung Pasir Linggi menjadi lubuk rezeki bagi penduduk untuk mencari sumber hutan seperti rotan, kayu gaharu, ubatan untuk herba dan madu tualang sejak tahun 70-an.

“Kini, kami dapati hasil semakin berkurangan menyebabkan sebahagian besar penduduk sudah berhenti melakukan kerja memungut hasil hutan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Harun memberitahu, penduduk kini beralih mengusahakan tanaman sara diri dan melakukan pekerjaan menoreh getah bagi menampung pendapatan keluarga.

Katanya, mereka bersyukur apabila pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyediakan tanaman getah sebagai sumber ekonomi mereka.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Ayun Abdul Rahman, 35, pula berkata, kebanyakan penduduk berhenti melakukan kerja termasuk mencari madu tualang apabila sering kali pulang ke rumah dengan tangan kosong.

Katanya, penduduk Orang Asli menganggap kerja mencari hasil hutan tidak lagi memberi sebarang keuntungan.

“Kebanyakan penduduk juga telah beralih melakukan kerja yang memberi pulangan lain seperti bercucuk tanam dan menoreh getah.

“Jika dahulu hutan umpama pasar raya bagi Orang Asli apabila boleh mendapatkan segala keperluan makanan. Bagaimanapun, kami melihat aktiviti penerokaan tanah menyebabkan sumber hutan terancam dan semakin pupus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI