fbpx

Siti Nurhaliza sepentas dengan David Foster selepas 9 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NURHALIZA akan menjayakan konsert David Foster & Friends Asia 2023 bersama maestro terkemuka dunia itu di Kuala Lumpur dan Singapura. - MOHD. FARIZWAN HASBULLAH.

KUALA LUMPUR – Impian dipendam penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza selama sembilan tahun untuk berkongsi pentas semula dengan David Foster menjadi kenyataan apabila komposer dan produser terkenal itu mengundangnya menjayakan Konsert David Foster & Friends Asia 2023.

Katanya, doa yang dipanjatkan ketika kali pertama berkolaborasi dengan maestro muzik itu di sebuah persembahan eksklusif pada 2014 bakal terlaksana pada 7 Ogos depan.

Lebih bermakna, akui penghibur nombor satu negara itu, label penerima anugerah Grammy itu sendiri yang menghubungi pihaknya untuk persembahan dua hari (sehari di Singapura keesokan harinya).

“Julung kali beraksi bersama Foster dulu, saya berdoa itu bukan kolaborasi kami yang pertama dan terakhir.

“Sebenarnya selepas itu saya dipelawa beberapa kali membuat persembahan bersamanya di Indonesia, tetapi rezeki tidak menyebelahi saya ketika itu.

“Jadi apabila diundang sekali lagi, saya tidak akan sia-siakan peluang ini apatah lagi pengurusan Foster tetap memanggil saya biarpun ramai penyanyi muda yang bagus,” katanya pada sidang media konsert anjuran Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin), di sini, pagi tadi.

Mengimbas semula kecenderungan terhadap gubahan pemuzik hebat itu, katanya, komposer Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan yang memperkenalkannya kepada Foster serta penyanyi idolanya, Celine Dion.

“Saya mengenali kedua-dua figura tersohor dalam arena muzik dunja ketika awal pembabitan dalam arena seni suara pada usia 16 tahun.

“Ketika duduk di rumah di arwah abang Adnan, arwah selalu mainkan video konsert Celine Dion dan dari situ saya kenali Foster sebagai pencipta lagu yang hebat.

“Kemudian saya rakamkan lagu nyanyian asal penghibur tersebut berjudul The Colour Of Love dalam album kedua kerana itu lagu Foster yang paling saya minat.

“Suara saya waktu itu nyaring, jadi memang boleh bawa lagu itu. Sebagai generasi yang membesar dengan lagu ciptaannya, walau sekejap peluang ini sangat bermakna,” katanya.

Bercakap mengenai konsert anjuran yang dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Siti bakal membawakan sebuah lagu ciptaan komposer terbabit dan satu lagi seleksi popularnya.

“Berdiri sepentas dengan Foster adalah impian setiap artis, saya pula apabila tengok senarai artis yang hebat, saya rasa sangat kecil.

“Saya belum dikenali di peringkat antarabangsa, sebelum ini saya hanya dikenali di Asia tapi saya percaya saya belum terlambat untuk dikenali di pentas antarabangsa pada usia 44 tahun.

“Muzik itu boleh menyatukan walau kita datang dari latar yang berbeza,” katanya yang menyatakan judul lagu untuk dibawakan nanti masih menunggu maklum balas pasukan Foster.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Mohd. Ghazali berkata, separuh daripada hasil jualan tiket untuk kapasiti 4,000 tempat duduk itu akan disalurkan kepada golongan memerlukan.

Tiket berharga antara RM288 hingga RM988 sudah mula dijual menerusi laman www.myticket.asia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI