fbpx

Bapa tarik anak dalam tasik sebelum mati lemas bersama-sama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara mayat yang ditemui terapung di Taman Tasik Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang bapa menarik anaknya yang dipercayai sudah mati lebih awal ke tengah tasik telah membuatkan dirinya mati lemas dalam kejadian di Taman Tasik Metropolitan Kepong, di sini, hari ini

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan penemuan mayat seorang lelaki dan seorang wanita tempatan sekitar pukul 10 pagi.

Menurutnya, selepas menerima panggilan itu, sepasukan polis daripada Balai Polis Kepong telah menjalankan siasatan di tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua mayat dijumpai lengkap berpakaian. Mayat wanita berusia 30 tahun ditemui dalam keadaan terapung manakala mayat lelaki berusia 72 tahun telah tenggelam di dasar tasik pada kedalaman 2 meter (m).

“Kedua-dua mangsa telah meninggal dunia sekitar satu jam sebelum ditemui, punca awal kematian masih dalam siasatan” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Sukarno, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan dokumen pengenalan diri mangsa mendapati kedua-duanya mempunyai hubungan bapa dan anak.

Jelas beliau, keterangan awal daripada saksi yang melihat kejadian mendapati seorang lelaki sedang mengheret mayat seorang wanita yang telah lemas ke dalam tasik.

“Saksi telah cuba memberikan bantuan dengan memujuk individu tersebut naik ke atas tebing tetapi tidak dipedulikan mangsa dan terus menuju ke arah tengah tasik sehingga lemas.

“Kedua-dua mayat tersebut telah dirujuk ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Justeru, Ahmad Sukarno menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul di talian 03-40482206 atau Pegawai Penyiasat Sarjan Najib Endut dari Balai Polis Kepong di talian 03-62742222. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI