fbpx

K2

Plaza Shah Alam anjur program khas sempena Hari Ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua anak kecil menghadiahkan kuntuman mawar merah kepada ibu mereka.

BIAR siapapun kita, raja sebuah takhta, perdana menteri sebuah negara, profesor sebuah fakulti mahupun bilionair pemilik harta berkoyan-koyan, tanpa insan bergelar ibu, kita bukan sesiapa di alam maya ini.

Hari Ibu perlu diraikan kerana lahirnya kita dari rahim seorang ibu menjadikan kita seorang manusia yang mampu berpijak di bumi nyata.

Sempena Hari Ibu baru-baru ini, Plaza Shah Alam, Selangor tidak terkecuali mengambil peluang untuk meraikan para ibu dalam kalangan pengunjungnya.

Menurut Pengurus Kanan Plaza Shah Alam (PSA), Azura Mokhtar, pihaknya terpanggil untuk menganjurkan program sambutan Hari Ibu dengan pelbagai acara menarik sebagai menghargai sumbangan golongan itu.

“Saya ada ibu seperti orang lain, untuk satu hari kita meraikan ibu dengan menghadiahkan ibu sekuntum bunga mawar merah.

“Pada hari itu, kita boleh membawa ibu bersiar-siar atau belanja ibu makanan kegemarannya,” katanya ketika ditemui di PSA baru-baru ini.

Azura berkata, bagi menghargai sumbangan ibu, pihaknya turut menyampaikan kuntuman bunga ros kepada golongan tersebut melalui anak mereka yang masih kecil.

Jelasnya, di atas pentas, pengacara menanyakan anak-anak seperti apakah makanan kegemaran ibu, saiz kasut ibu dan tarikh lahir ibu sebelum 100 kuntum bunga mawar merah dihadiahkan kepada anak-anak sebelum disampaikan kepada ibu kesayangan mereka.

Sekitar kemeriahan sambutan Hari Ibu di Plaza Shah Alam, Selangor baru-baru ini apabila para anak menunjukkan kasih sayang kepada ibu masing-masing yang telah banyak berjasa.

“Niat kita bukan untuk menyusahkan kanak-kanak dengan soalan cepumas tetapi demi mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak.

“Pengunjung PSA juga gembira dengan kejutan yang kami lakukan kerana selain bunga tersebut, pihak kami turut mengadakan program ‘petting zoo’, jualan barang terpakai dan program bersama Kelab Kucing Malaysia,” ujarnya.

Jelas Azura yang turut menghadiahkan ibunda tercinta sekuntum mawar merah, program ‘petting zoo’ itu bagai mengimbas kenangan bersama ibu semasa kecil bermain dengan arnab dan ikan di kolam.

Apa yang lebih menarik katanya lagi, anak-anak ini boleh bermain dengan haiwan peliharaan kesayangan seperti anak ular sawa, burung kakak tua, kucing parsi, ayam dan lain-lain.
“Aktiviti sebegini bukan saja menggembirakan anak-anak, malah ibu bapa turut ceria menunjukkan kepada anak-anak haiwan peliharaan itu yang turut boleh dibawa pulang dengan harga berpatutan,” ujarnya.

Azura berkata, gelagat kanak-kanak bersama ibu mereka yang gembira bermain dengan haiwan kecil merupakan satu pemandangan yang indah dan ‘mahal’.

Tambahnya, program sedemikian akan diteruskan untuk menghargai jasa ibu yang tiada galang gantinya sejak melahirkan hinggalah si anak menginjak dewasa dan mengenal erti kehidupan sebenar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI