PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki bersikap amanah dengan memulangkan kembali sebuah beg berisi laptop, wang dan dokumen penting yang dijumpainya kepada pemiliknya mendapat pujian orang ramai.
Menerusi perkongsian Diarra Jane di akaun TikTok miliknya berkata, ibunya kehilangan beg itu yang diletakkannya di dalam troli di sebuah pasar raya.
“Gugur jantung apabila mak hantar troli sudah kosong. Mak kepenatan berniaga sampai terlupa,” katanya menerusi ruangan kapsyen.
Jelas Diarra, dia segera ke tempat beg tersebut hilang untuk menenangkan ibunya.
“Pergi ke tempat kejadian, moga dapat bantu mak sedikit sebanyak yang dalam kesedihan,” katanya.
Tambah Diarra, tidak lama selepas kejadian, mereka telah dihubungi seorang lelaki yang memaklumkan dia telah menjumpai beg tersebut.
Sejurus itu, lelaki berkenaan telah bersetuju berjumpa mereka di tempat sama dan memulangkan beg tersebut.
“Duit tak terusik, laptop pun ada. Bangga mak ayah awak adik, terima kasih banyak-banyak” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai mendoakan kesejahteraan lelaki berkenaan yang dianggap jujur.
“Ya Allah, jujurnya budak ni. Luaskanlah rezekinya Ya Allah,” ujar Puteri Noreen.
“Bertuah ibu ayahmu adik. Sentiasalah jadi orang baik, segak paras rupa dan cantik pekerti,” kata Norshabiza Ahmad.
Perkongsian tersebut tular sehingga memperoleh lebih 400,000 tontonan dan 40,700 tanda suka. – KOSMO! ONLINE