fbpx

Lebih 19,000 jemaah sudah berada di Tanah Suci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im (kiri) mengiringi Al Sultan Abdullah ketika menyantuni bakal jemaah haji di Hotel Movenpick hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

SEPANG – Lebih 19,000 jemaah haji Malaysia dilaporkan sudah selamat sampai di Tanah Suci sejak penerbangan pertama bermula 21 Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, jumlah itu tidak termasuk 355 jemaah bakal haji yang berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan ke-66 hari ini.

Menurut beliau, Lembaga Tabung Haji (TH) menguruskan lebih 31,000 jemaah pada musim haji kali ini yang mana merupakan kuota penuh rasmi negara.

“Kerajaan Arab Saudi juga meneruskan perkhidmatan Makkah Route untuk jemaah haji Malaysia buat tahun yang kelima sejak diperkenalkan pada tahun 2017.

“Perkhidmatan ini ternyata berjaya melancarkan pergerakan jemaah ketika proses imigresen dan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan setibanya jemaah di lapangan terbang Madinah serta Jeddah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan majlis keberangkatan Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia di Hotel Movenpick di sini tadi.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im turut berharap agar jemaah haji dapat melakukan amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci nanti.

“Sekiranya mempunyai apa-apa kemusykilan hukum, mereka boleh bertanya kepada para pembimbing ibadat Tabung Haji bagi memastikan amalan yang dilakukan adalah betul dan sempurna.

“Para jemaah juga dinasihatkan sentiasa menjaga kesihatan diri serta sentiasa memakai gelang dan kad pengenalan diri yang dibekalkan oleh Tabung Haji supaya mudah dikenal pasti sekiranya berlaku sebarang kecemasan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI