fbpx

Pesawah dakwa benih padi tidak berkualiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Rashid (dua dari kanan) bersama kalangan petani menunjukkan benih padi yang didakwa tidak berkualiti di Megat Dewa, dekat Jitra, Kedah hari ini.

JITRA – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mendakwa sebahagian benih padi yang dibekalkan kepada pesawah tidak berkualiti dan langsung tidak bercambah apabila direndam di dalam air.

Exco Pesawah, Abdul Rashid Yob berkata, ia bukan isu baharu, sebaliknya telah berlaku sejak sekian lama dan gagal diselesaikan agensi kerajaan terlibat.

Katanya, pihaknya menerima banyak aduan daripada pesawah di negeri ini, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan berkaitan masalah tersebut.

“Pemerhatian mendapati sebahagian benih yang dijual kepada pesawah merupakan benih lama berusia lebih tiga bulan daripada tarikh diproses.

“Berlaku juga kejadian benih dibekalkan masih baharu, namun turut tidak bercambah apabila direndam. Masalah ini sudah kami bangkitkan sejak empat tahun lalu tetapi masih terus berulang sehingga kini,” katanya pada sidang akhbar di Kampung Megat Dewa, dekat sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya yakin masalah itu timbul kerana syarikat pengeluar benih padi dilindungi sistem pelesenan dan kuota bekalan benih padi.

“Setiap musim mereka dengan mudah mendapat keuntungan jutaan ringgit daripada subsidi diberikan kerajaan terus kepada syarikat terlibat.

“Itu bermakna sama ada benih dihasilkan berkualiti atau tidak, syarikat-syarikat ini tetap akan dapat menuntut bayaran subsidi daripada kerajaan. Ditambah dengan kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak Kawalselia Padi dan Beras negeri, keadaan itu seakan tidak berkesudahan,” ujarnya.

Justeru, pihaknya menggesa kerajaan memberikan lebih banyak lesen untuk menjual benih padi kepada pihak-pihak lain seperti pertubuhan peladang, koperasi, syarikat bertaraf industri kecil dan sederhana (SME) serta golongan petani yang melaksanakan amalan tradisi menyimpan serta berkongsi benih padi sejak sekian lama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI