TERBURUK dan terkotor di Indonesia, itulah perkataan yang dapat diungkap tentang keadaan pantai di Desa Teluk.
Persisiran pantai di desa yang terletak di Daerah Labuan, Pandeglang, Wilayah Banten, Indonesia itu dipenuhi dengan sampah sarap yang ‘menyakitkan mata’ bagi sesiapa melihatnya.
Keadaan di situ turut mendapat perhatian lima anak muda daripada kumpulan Pandawara yang aktif membersihkan kawasan kotor di seluruh Indonesia.
Sebelum ini, lima anak muda tersebut sering memaparkan video-video pendek di dalam TikTok mengenai cara mereka membersihkan sungai-sungai kotor yang dipenuhi dengan sampah sarap di negara tersebut.
Kumpulan yang dianggotai oleh Muhammad Ikhsan, Gilang Rahma, Agung Permana, Rafly Pasya dan Rifki Sa’dulah itu kembali mengambil tindakan menyelamatkan persekitaran yang tidak sihat.
Baru-baru ini, kumpulan Pandawara telah mengajak masyarakat setempat untuk berganding bahu membersihkan pantai di Desa Teluk.
Mereka juga telah memuat naik kandungan di TikTok tentang keadaan tempat tersebut.
“Pantai seperti ini bukan gelanggang untuk rakyat dan kerajaan menyalahkan antara satu sama lain.
“Bagaimanapun, ini merupakan detik untuk masyarakat dan kerajaan berganding bahu menangani masalah alam sekitar,” ujar salah seorang ahli kumpulan Pandawara.

Usaha yang dilakukan oleh kumpulan itu mendapat sambutan apabila mereka turut dibantu oleh masyarakat, pelajar dan pihak kerajaan tempatan.
Pada hari pertama pembersihan dilakukan, mereka berjaya mengumpul 1,200 beg sampah dalam tempoh dua jam sahaja.
“Setelah hampir setahun kami melakukan aktiviti pembersihan, ini boleh dikatakan pantai paling ekstrem yang pernah kami bersihkan,” kata Muhammad Ikhsan.
Salah satu faktor pantai di Desa Teluk kotor adalah disebabkan penduduk tempatan sudah lama membiasakan diri membuang sampah di situ.
Salah seorang penduduk tempatan, Entin, 30, mengakui, setiap hari dia membuang sampah ke laut iaitu hanya 50 meter dari rumahnya.
“Hampir semua penduduk di sini membuang sampah ke laut hingga Pantai Teluk. Ini kerana tidak ada tempat pembuangan sampah di sini.
“Selain penduduk, peniaga Pasar Masakan Teluk Batako juga sering membuang sampah di pantai.
“Tambahan pula, tiada papan tanda amaran yang melarang orang ramai membuang sampah di pantai,” ujar Entin lagi.
Berkongsi hal sama, Ketua Perkhidmatan Alam Sekitar Pandeglang, Achmad mengakui, kesedaran penduduk Desa Teluk tentang kebersihan masih kurang.
“Mereka (kumpulan Pandawara) ini luar biasa, namun kesedaran masyarakat sangat rendah.
“Kami pernah cuba sediakan trak sampah, tetapi tidak berjaya kerana tiada keseimbangan antara perbelanjaan sampah dan pendapatan.
“Kami juga telah menjalankan perkhidmatan kutipan sampah untuk masyarakat.
“Namun, ramai penduduk tidak mahu membayar dan memilih untuk membuang sampah ke laut,” terangnya.

Selepas ini, Achmad bercadang untuk menjalankan aktiviti pembersihan secara berkala di Pantai Teluk bersama penduduk.
Achmad akan melakukan jadual setiap bulan dan menyediakan lori mengangkut sampah bagi mengatasi masalah tersebut.
Sementara itu, berbicara tentang kumpulan Pandawara, mereka mempunyai lebih 6.8 juta pengikut di TikTok.
Kumpulan berkenaan amat serius dalam menangani masalah pembuangan sisa dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menjaga alam sekitar.
Malah, kandungan pertama di TikTok pada Ogos 2022 menyiarkan video kumpulan itu membersihkan sebatang sungai di Bandung, Indonesia.
Kejadian banjir di Bandung juga telah memberi inspirasi kepada mereka untuk menjaga alam sekitar.
“Hujan lebat ketika itu telah menyebabkan rumah kami dinaiki air.
“Selama beberapa tahun, bahagian selatan Bandung telah berulang kali dilanda banjir,” kata Rifki.
Kejadian itu juga telah memberi inspirasi kepada lima anak muda tersebut menubuhkan kumpulan Pandawara, di mana mereka bergabung tenaga membersihkan alam sekitar.
Sejak itu, kumpulan tersebut telah membersihkan banyak sungai dan saluran air yang dipenuhi sampah sarap.
“Kami sedar, tidak boleh menyalahkan kerajaan sahaja apabila berlaku banjir, kami sebagai masyarakat juga bersalah.
“Ketika membersihkan sungai di Bandung, kami menemui sofa dengan lebar 1.5 meter serta tilam di laluan air, maka tidak hairanlah air melimpah,” kata Gilang.
Kemudian, kumpulan itu menyedari bahawa sesuatu perlu dilakukan supaya orang ramai mengubah tingkah laku buruk mereka.
Mereka memutuskan untuk mencipta video di TikTok untuk meningkat kesedaran masyarakat tentang betapa tercemarnya sungai di Bandung.
Pada masa sama, mereka ingin mempromosikan kerja mengutip sampah sebagai aktiviti yang menyeronokkan.
Kandungan mereka membersihkan sungai yang disiarkan dalam TikTok mendapat tontonan tinggi dan tular.
“Apabila melihat video kami tular, kami sangat bersyukur. Baiknya di sini, kami telah memberi inspirasi kepada ramai orang untuk melakukan perkara sama. Malah, ada yang ingin membersihkan sungai berhampiran rumah mereka dan minta menyertai kami sebagai sukarelawan,” kata Gilang.
Dalam pada itu, Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Salahudin Uno memberi penghargaan kepada kumpulan Pandawara yang sering melakukan aktiviti pembersihan sampah.
“Not all heroes wear capes (bukan semua hero berjubah). Jadi, ayat ini memang layak diberikan kepada kumpulan pandawara,” katanya.
Tambahnya, dia memberikan sokongan terhadap tindakan kumpulan itu membersihkan sampah.














