fbpx

Aina Abdul tahan diri ke tandas demi fesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AINA 'berkorban' banyak perkara demi peminat dan minatnya terhadap fesyen.

AINA Abdul dan fesyen sepertinya sudah sebati bersama.

Jika tiada fesyen atau busana berkonsepkan aneh yang diketengahkan, pasti akan ada rasa lompong dalam persembahan pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani itu.

Namun, demi menghiburkan ramai dengan penampilan ekstravaganza, tiada siapa yang mengetahui kepayahan ditanggung penyanyi berusia 30 tahun itu.

Baru-baru ini, dia kembali menjadi bahan cercaan netizen selepas muncul dengan fesyen gaya toto dan bantal yang dipakaikan pada konsert mingguan Big Stage.

Tolak tepi cerita kecaman, Aina memberitahu perlu menahan diri daripada membuang air besar selama beberapa jam dan itu disiplin yang perlu dilakukannya.

“Tandas? Saya tidak pergi pun dan perlu menahan diri daripada membuang air.

“Sejak saya mengambil keputusan untuk muncul dengan pelbagai jenis fesyen, memang sudah diajar untuk menahan diri begitu,” katanya kepada Pose, baru-baru ini.

Bahkan, dia juga menolak rasa negatif sebelum menyarung sebarang jenis busana.

“Bila pakai busana pelik sebegitu, memang tidak rasa apa-apa yang menyusahkan.

“Mungkin kerana sudah terlalu terbiasa dan kerap menggayakan fesyen ‘besar’ dan baju yang rumit,” ujarnya.

Tahan diri

Selain menahan diri daripada buang air, dirinya juga perlu menanggung kepanasan di dalam baju yang adakalanya terlalu tebal.

“Saya tahan kepanasan sekitar tiga jam dan memang lencun badan di dalam baju itu.

“Namun itulah pengorbanan yang perlu dilakukan saya dalam menyampaikan sesuatu mesej dan memberi kelainan,” katanya lagi.

Berkongsi sama ada hati pernah tergores dengan kecaman ramai terhadap penampilannya, jawabnya mudah. Sudah lali.

Katanya, dia merasakan mencari kelainan dalam penampilan adalah realiti yang harus dilakukan memandangkan tidak lahir dengan pakej yang lengkap.

“Kita perlu akur dan terima realiti bahawa industri Malaysia bukan hanya terima bakat suara sahaja.

“Hakikatnya, kita berada dalam satu era yang memerlukan lebih daripada nyanyian dan itu yang saya lakukan ketika ini.

“Untuk orang ramai menerima semua idea ini dan merasakan saya seorang penyanyi berbeza memang perlukan masa yang lama,” kongsinya.

Inspirasi

Berbicara lanjut, pelantun lagu Sumpah itu mengakui fesyen penyanyi antarabangsa seperti Rihanna dan Lady Gaga memberinya banyak inspirasi.

“Saya juga sangat sukakan penyanyi yang ada pakej lengkap termasuk fesyen dan itu sebabnya meminati Lady Gaga dan Rihanna.

“Kalau boleh mahu jadi wakil wanita bertudung yang menggayakan fesyen-fesyen diketengahkan mereka tetapi masih mengikut syariat Islam,” tuturnya.

Diasak tentang kos yang dilaburkan untuk setiap baju, dia memberitahu, semuanya bergantung kepada konsep yang ingin diketengahkan.

“Kalau penampilan biasa, selalunya sekitar RM3,000 ke atas dan jika busana tersebut mempunyai konsep tertentu, boleh mencecah lima angka,” jawabnya ringkas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI