fbpx

‘Top 5’ filem sendu, tak laku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIMA filem tempatan yang gagal di pawagam.

INDUSTRI perfileman tanah air bagaikan bernafas kembali apabila Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan sutradara, Syamsul Yusof mencetuskan fenomena dengan catatan kutipan panggung mencecah RM90 juta dalam tempoh 33 hari tayangan.

Pencapaian dunia sinematik negara tidak terhenti di situ apabila filem yang dinanti-nantikan, Polis Evo 3 juga berjaya memakukan tanda aras baharu kualiti filem tempatan.

Tidak sahaja aksinya dipuji, sekuel ketiga Polis Evo itu turut meraih kutipan sebanyak RM25 juta dalam tempoh tujuh hari tayangan di seluruh negara.

Menghasilkan sebuah filem boleh diibaratkan sebagai ‘perjudian nasib’.

Ketika beberapa filem raih kutipan cemerlang, terdapat juga filem yang sekadar menghiasi carta pawagam lantas berlalu pergi dengan kutipan ‘menyedihkan’.

Entah di mana silapnya, mungkin jalan cerita yang kurang memberi impak atau dibarisi pelakon tiada nilai ‘bintang filem’ atau juga kurang pengaruh.

Apa yang pasti, kedua-dua aspek itu penting untuk menarik minat pencinta filem negara.

Gala minggu ini menyenaraikan beberapa filem yang kurang mendapat sambutan atau dalam erti kata lain ‘sendu’ dan sekadar pulang modal sahaja.

Bella & Jamie

BELLA & JAMIE

MERUPAKAN karya arahan Fairul Nizam Ablah dan Ghaz Abu Bakar, Bella & Jamie mengisahkan persahabatan dua gadis iaitu Bella dan Jamie yang menjadi semakin akrab selepas mendapat tahu ibu dan bapa mereka merancang untuk berkahwin. Hubungan mereka kemudiannya goyah apabila Jamie menjalinkan hubungan cinta dengan bekas kekasih Bella.

Meskipun dikatakan fresh dan sarat plot twist, malangnya filem berkenaan sekadar di pinggiran dan dilabel filem ‘tak laku’ apabila hanya meraih kutipan panggung sebanyak RM9,186.50 berbanding kos produksi RM600,000.

Filem pertama terbitan Liyana Jasmay itu juga kurang mendapat sambutan kerana berdepan dengan banyak cabaran apabila terpaksa ditayangkan serentak bersama dengan lima buah filem luar bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Jika ditanya kepada penggemar cerita melayu, mereka juga pasti tidak pernah sedar dengan kewujudan filem yang dibintangi Liyana Jasmay, Che Puan Juliana Evans, Izzue Islam dan Khir Rahman tersebut.

Bidong: The Boat People

BIDONG

DIINSPIRASIKAN daripada sejarah pelarian Vietnam yang melarikan diri ke Pulau Bidong, Terengganu sekitar 1970-an, filem arahan pengarah terkenal, Yusof Kelana yang kedengaran hebat itu tidak dipandang penggemar filem tanah air.

Menghiasi pawagam pada Mac 2018, Bidong: The Boat People membariskan pelakon berbakat besar daripada pelbagai latar belakang dan bangsa seperti Taufik Hanafi, Irene Wong, Livolnia Ricky, Lawrence Poh, Abby Nour, Dickson Chin Z, Zamree, Vanessa Lim dan Man Raja Lawak.

Memaparkan jalan cerita bernuansa epik, filem terbitan YKS Film Maker dengan kerjasama SKT Media Entertainment itu juga dikatakan sarat menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI).

Menariknya lagi, naskhah berkenaan juga menggunakan empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan Vietnam.

Malangnya, naskhah berkenaan tetap gagal meraih perhatian orang ramai apabila hanya mampu mengutip jualan tiket sebanyak RM3,536 sekali gus menjadikan karya berkenaan di kedudukan tercorot sepanjang zaman sehingga kini.

Mendidih Bro

MENDIDIH BRO

NASKHAH Mendidih Bro mengisahkan Adi yang melakukan penggambaran sebuah dokumentari mengenai puak Orang Asli di Filipina.

Dalam usaha untuk menjejaki masyarakat terbabit, dia terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan.

Dijayakan pelakon-pelakon popular, filem arahan Z. Lokman itu sepatutnya mampu mendaki tahap lebih tinggi, malangnya tidak.

Tiada tuah atau barangkali tidak mencapai standard sebuah filem, Mendidih Bro hanya mampu mendapat pulangan RM4,090, bahkan filem tersebut hanya mampu bertahan selama empat hari di 21 pawagam seluruh negara.

Selain itu, naskhah yang dibintangi Azrel Ismail, Che Puan Julianna Evans, Marlyn Guinto, Yank Kassim, Adrea Abdullah dan Amy Mastura tersebut dikatakan seolah-olah tergantung sepi tanpa promosi oleh pihak

produksi dan pengedar, sehinggakan kehadirannya di pawagam tidak begitu disedari khalayak.

Bahkan, tidak banyak reviu tentang filem ini dapat diperolehi dalam carian internet.

Enjin No.9

ENJIN NO.9

MENERAPKAN elemen romantik bersulam komedi, filem arahan Raja Azmi, Enjin No.9 turut tersenarai dalam carta ‘sendu’ apabila hanya berjaya mengutip sebanyak RM7,466.

Filem berkenaan dibarisi Tajul Arif, Kazar, Sharifah Shahirah, Datin Fadilah Mansor, Dottie, Bila AF dan Nurul Ayuni Asyiqin.

Diterbitkan Rangkaian Melati Production, filem tersebut mengisahkan Pak Leman lakonan Kazar yang serik untuk berkahwin lagi setelah lapan kali gagal dalam perkahwinan.

Jalan cerita yang agak klise dan membosankan merupakan faktor utama filem ini tidak laku bahkan dilabel oleh netizen sebagai filem syok sendiri.

Qhaliq

QHALIQ

Sebelum wujudnya Paskal dan Wira, pasti ramai yang tidak tahu bahawa Hairul Azreen terlebih dahulu melakonkan watak anggota beruniform lain menerusi Qhaliq.

Menjadi filem bomba pertama di Malaysia, Qhaliq arahan Rosli Mohd Talib terbitan Aifa Motion Pictures dan dibaris pelakon terkenal tanah air seperti Hairul Azreen, Aliff Yasraff, Nur Risteena, Ahmad Idham, Syanie Aida dan Azza Elite.

Kegagalan naskhah berkenaan untuk pecah panggung dikatakan berpunca daripada kurang promosi selain ketika itu khalayak dikatakan cenderung terhadap genre romantik dan komedi.

Sepanjang tempoh tayangan, Qhaliq hanya memperoleh kutipan sebanyak RM14,000.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI