fbpx
LIYANA JASMAY

Liyana Jasmay bangga berkulit gelap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGALAMAN menjadi tembok di jiwa Liyana Jasmay untuk kekal utuh, kebal daripada segala kritikan dan tohmahan buruk tentang dirinya.

Durasi hampir tiga dekad mempertaruhkan sepenuh jiwa raga ke lapangan seni, bukanlah tempoh yang singkat.

Berbekalkan rasa cinta yang mendalam, aktres handalan Liyana Jasmay tidak pernah lelah, jauh sekali menanam rasa jemu terhadap bidang yang dianggap telah sebati dalam hidupnya.

Tidak hairan jika Liyana atau mesra disapa Nana pernah menggondol beberapa anugerah antaranya Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22, Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2009 dan Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 2010.

Kualiti dan standard yang ada pada dirinya mungkin aktres berkulit sawo matang itu dinilai sebagai kuat ‘demand’ atau ‘mahal’ oleh segelintir pihak.

Tanggapan tersebut meleset apabila wanita itu tidak pernah meletakkan sebarang ketetapan harga ‘cekik darah’ untuk muncul dalam sesebuah naskhah.

Tidak memilih

“Sejujurnya saya berlakon bukan disebabkan wang. Kalau ikutkan saya tidak suka bercakap soal duit, sebab bila bercakap tentang sebut harga, perkara itu akan membuatkan pihak yang bertanya jadi serba salah.

“Ada projek saya buat sebab minat termasuk projek skala kecil oleh kawan-kawan. Saya tidak selektif sebab saya memang suka berlakon dan merupakan minat terbesar saya,” ujarnya.

Tambah Liyana, dia enggan menjadi terlalu memilih kerana ada ketika, peluang yang diterima itu sangat bagus walaupun sekadar membawakan peranan kecil.

Malah, pelakon kelahiran Kuantan, Pahang itu tidak menolak untuk bekerja dengan pendatang baharu.

“Saya tiada masalah untuk bekerja dengan pelakon baharu kerana rasa lebih seronok jumpa orang baharu.

“Saya mahu tahu bagaimana corak pemikiran mereka.

“Saya tidak memilih kerana apa sahaja rezeki yang datang, kalau kena pada masa, saya akan lakukannya,” ujar Liyana.

Pengalaman melalui sepak terajang dalam industri juga membuatkan hati Liyana cukup kental berdepan dengan cakap-cakap buruk tentang dirinya.

‘Body shaming’

Buktinya, pelakon berusia 35 tahun itu sudah lali dengan kritikan orang ramai ketika warna kulitnya menjadi bahan umpatan netizen.

Bagi Liyana, tiada guna melatah atau bermuram durja hanya kerana diejek tentang warna kulit yang dikatakan semakin gelap.

“Saya rasa perkara ini (body shaming) bukan terjadi Malaysia saja. Artis di Amerika Syarikat (AS) pun serupa.

“Apa yang penting bagaimana kita harus menghadapinya.

“Mungkin sebab saya sudah lama dalam industri membuatkan saya sudah tidak kisah dengan cakap-cakap orang.

“Saya kena terbuka bahawa tidak semua suka pada saya,” jelasnya.

Dek kritikan sedemikian, Liyana memuat naik video kesedaran dalam TikTok dan menegaskan tidak akan melakukan suntikan untuk menjadi putih kerana bimbang kesan sampingan.

Video yang dimuat naik Liyana sekali gus memancing perhatian netizen sehingga meraih lebih tiga juta tontonan.

LIYANA kini muncul dengan siri genre sains fiksyen berjudul Alter-Naratif terbitan Viu Malaysia. – SADDAM YUSOF

“Saya tiada niat untuk ‘mengadu’ kepada netizen, cuma mahu menggalakkan mereka yang berada dalam situasi saya untuk kekal positif.

“Apa-apa pun saya tetap berbangga dengan warna kulit saya dan mahu terus memberikan inspirasi serta mesej positif kepada orang ramai,” ujarnya.

Kenangan

Pada masa sama, Liyana sebenarnya mahu mencontohi sikap seperti arwah bapanya, Allahyarham Datuk Jasmay Md. Shah dalam soal berbudi bahasa dan membantu orang lain selagi mampu.

“Mungkin sifat ini sudah diajar arwah bapa sewaktu dia bekerja di bank. Kata arwah, dia bekerja untuk membantu dan menyenangkan orang.

“Jadi saya mahu lakukan hal sama selain memainkan peranan sebagai anak seni untuk memajukan industri,” jelasnya.

Bercakap tentang arwah bapanya, nada suara ibu kepada dua orang cahaya mata itu tiba-tiba berubah sebak.

Mungkin kerana rindu kepada orang yang telah tiada, lebih-lebih lagi dia baru kehilangan ibunya, Allahyarhamah Datin Habsah Simpon beberapa minggu lalu akibat barah otak.

Kata Liyana, dia selesa dan berbangga dengan tona kulitnya yang sedikit gelap.

Kata Liyana, kehilangan orang tua ibarat seperti tiang yang runtuh. Galau hatinya tidak dapat disorok lebih-lebih lagi ‘syurganya’ meninggal dunia akibat penyakit kanser.

Liyana mengakui takut. Dia gusar kalau-kalau turut berisiko menghidap kanser dek faktor genetik keluarga.

“Perkara yang menimpa ibu bapa menjadi pengajaran, memandangkan kedua-dua mereka meninggal dunia disebabkan kanser.

“Arwah bapa meninggal disebabkan kanser paru-paru, manakala arwah mama pula disebabkan barah otak.

“Ikut genetik, saya memang berisiko menghidap kanser. Selain perlu lakukan pemeriksaan kesihatan menyeluruh, saya juga kena menjaga pemakanan dan mengelak daripada mengambil makanan proses dan berlemak,” katanya.

Biarpun berduka, Liyana reda dan percaya ibu bapanya kini berada di tempat yang lebih baik di sisi Tuhan.

“Saya sedih. Namun momen-momen menyeronokkan bersama mereka (ibu bapa) membuatkan saya kembali tersenyum.
“Memori itu menjadi kenangan saya hari ini,” ucapnya dalam linangan air mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN