KITA selalu dengar ayat ini, seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak, tetapi 10 anak belum tentu boleh dan mampu menjaga serta memelihara seorang ibu atau bapa.
Apatah lagi ketika ‘syurga’ mereka itu sakit atau nyanyuk. Tidak mampu untuk berjalan, hanya terlantar dan memerlukan penjagaan rapi.
Kosmo! semalam mendedahkan sikap sebilangan tanggang moden yang sanggup meninggalkan ibu dan bapa di hospital kerana tidak mahu menjaga warga emas tersebut.
Sudahnya pihak hospital terpaksa memanggil pusat-pusat jagaan dan kebajikan bagi kelangsungan hidup warga emas terbabit.
Anak-anak mereka hilang tanpa khabar berita. Semuanya berpunca daripada sikap, rasa tamak selain menganggap tanggungjawab menjaga orang tua masing-masing sebagai beban.
Seorang individu kaya bergelar Tan Sri juga tidak terlepas apabila turut ditempatkan di pusat jagaan selepas anak-anak tidak mahu menjaganya. Mereka sudah pun mendapatkan harta termasuk stesen minyak.
Antara kisah lain, seorang mualaf ditinggalkan selepas anak-anak mendapatkan wang pampasan bapa mereka sebanyak RM140,000.
Tidak terkecuali kisah sayu seorang wanita yang dibenci anak menantu kerana menghidap pelbagai penyakit termasuk kencing manis dan darah tinggi ditinggalkan bersama orang-orang tua lain.
Ini kisah anak-anak yang teruji dengan perihal ibu bapa dan cerita orang tua tentang perangai zuriat mereka.
Di Perlis kelmarin, seorang wanita yang strok sebelah badan maut dipercayai dipukul ahli keluarganya sendiri kerana tidak tahan melayannya yang sakit.
Di manakah belas ihsan kita? Adakah orang sekarang hidup penuh tekanan menyebabkan mereka mudah hilang pertimbangan.
Penulis pasti banyak lagi kisah di sebalik ramai warga emas yang mempunyai keluarga ditempatkan di pusat jagaan dan terbiar.
Mendengar dan membaca kisah mereka pastinya akan membuatkan kita tersentuh. Banyak perkara yang boleh dipelajari dan dijadikan pengajaran.
Di sebalik rasa marah, geram dan kecewa, kita jadikan kisah-kisah ini sebagai iktibar, muhasabah diri agar menjadi insan lebih baik, menyanjungi orang tua yang banyak berkorban sebelum ini.
Elak menghukum sesiapa walaupun kita sedar perkara ini tidak boleh dan tidak sepatutnya berlaku. Kerajaan harus segerakan akta bagi mengekang perkara ini berleluasa, kita takut banyak pusat jagaan terpaksa dibuka, ketika ini pun sudah padat.
Ketika ini banyak pusat jagaan orang tua harian yang boleh dijadikan alternatif bagi anak yang kekangan masa.
Carilah jalan, jika duit jadi kekangan jagalah ibu bapa sendiri selagi hayat masih dikandung badan. Ketepi segala masalah setidak-tidaknya apabila mereka sudah tiada, kita tidak menyesal kerana sudah melakukan yang terbaik. Doa yang baik-baik. -KOSMO! ONLINE














