fbpx

Hidap darah tinggi, Rahim Maarof makin pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANAK Rahim Maarof (kanan) bernama Jasmin memberitahu, bapanya semakin pulih.

KUALA LUMPUR – Kesihatan penyanyi rock terkenal era 1990-an, Rahim Maarof yang dimasukkan ke hospital pada Mac lalu kini semakin pulih.

Menurut anaknya Jasmin Rayhan, ayahnya bagaimanapun masih perlu menjalani rawatan susulan dan berehat secukupnya selepas dibenarkan pulang ke rumah Aidilfitri lalu.

“Ayah saya dibenarkan pulang selepas hari raya dan diminta berehat di rumah sahaja selepas kesihatan semakin pulih.

“Namun, dia masih perlu menjalani proses rehabilitasi untuk melatih semula pergerakan fizikal dan percakapannya.

“Buat masa sekarang dia perlu menjalani tempoh berehat agak panjang dan menghadiri beberapa sesi rawatan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Berkongsi lanjut, Jasmin mendedahkan, punca kesihatan bapanya merundum hingga dimasukkan ke ICU adalah disebabkan tekanan darah tinggi.

Berita tersebut turut memberi kejutan kepada seisi keluarganya kerana dalam sejarah keluarga, tiada sesiapa pun pernah menghidapi penyakit tersebut.

“Ayah memang seorang yang kuat bekerja sehingga tidur dan waktu makannya menjadi tidak teratur.

“Disebabkan itu terjadinya tekanan darah tinggi. Dalam sejarah keluarga kami tiada pun yang terkena penyakit begitu.

“Jadi, apabila ayah masuk Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum ini membuatkan kami semua terkejut,” ujarnya.

Jasmin yang ditemui semasa Pelancaran Sumbangan Rahmah Industri Muzik baru-baru ini memberitahu, bapanya yang cukup popular dengan lagu malar segar berjudul Cinta Kristal itu bersyukur menerima sumbangan.

“Ketika mengetahui menerima sumbangan Rahmah, dia beriya-iya mahu hadir tetapi ayah masih menggunakan tiub serta kena berehat di rumah.

“Dia bersyukur dan gembira mengetahui peminat mendoakan kesihatannya serta mendapat sokongan daripada pihak industri,” tuturnya.

Atas keprihatinan pihak Persatuan Industri rakaman Malaysia (RIM), Rahim menerima sumbangan Rahmah sebanyak RM 2,000 untuk meringankan beban artis yang mengalami kesusahan akibat pelbagai faktor.

Selain Rahim, sembilan artis lain turut menjadi penerima sumbangan seperti Ibnor Riza, Zaiton Sameon, Ali XPDC, Sazali P.Ramlee, Datuk Ooi Eow Jin, Ben Nathan, Huang Jun Tian, Zaleha Hamid dan Shima. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI