fbpx

Mahkamah: Pemuda 20 tahun didakwa rogol wanita 71 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Vasant Raj ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini.

KAJANG – Seorang pemuda berusia 20 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol wanita warga emas berusia 71 tahun di sebuah rumah April lalu.

Bagaimanapun tertuduh R. Vasant Raj yang merupakan kelindan lori itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol seorang wanita warga emas berusia 71 tahun sambil mengacukan sebilah pisau kepada mangsa yang sedang berada dalam ketakutan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kawasan perumahan di Taman Asa Jaya di sini pada pukul 4 petang pada 15 April lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(b) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dan syarat-syarat tambahan yang akan ditetapkan mahkamah.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya memohon dikurangkan jumlah jaminan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, hakim Mazuliana membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

“Syarat-syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan,” kata hakim itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Julai ini bagi sebutan semula kes.

Hari ini, media melaporkan seorang pemuda akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana disyaki merogol seorang wanita warga emas di sebuah kawasan perumahan, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan pada 25 Mei lalu susulan laporan dibuat mangsa.

Menurutnya, wanita berusia 70 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 6.41 petang, 15 April lalu mendakwa dirogol seorang lelaki.

“Bertindak atas laporan, siasatan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang sebelum berjaya menahan suspek. Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI