fbpx

Geng Daus, Hafiz curi motosikal di flat tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Iqbal (tengah) menunjukkan motosikal dan rangka jentera tersebut yang dirampas dari Geng Daus dan Hafiz. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Kelicikan dua geng curi motosikal iaitu ‘Daus’ dan ‘Hafiz’ sejak awal tahun ini tumpas selepas dicekup dalam enam serbuan berasingan baru-baru ini.

Kejayaan itu hasil penahanan keseluruhan sembilan suspek daripada dua kumpulan itu termasuk ketua mereka yang berusia 24 hingga 33 tahun bermula awal bulan lalu di sekitar daerah ini, Klang dan Banting.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, berdasarkan siasatan mendapati kedua-dua geng tersebut saling mengenali termasuk ada antara mereka baharu keluar penjara.

Katanya, lokasi operasi mereka adalah parkir awam dan pasar raya yang tidak mempunyai rakaman televisyen litar tertutup atau pengawal keselamatan selain flat.

“Mereka menyasarkan motosikal yang mudah dicuri terutama tidak mempunyai atau dilengkapi kunci pendua atau keselamatan.

“Setiap motosikal yang dicuri akan dileraikan untuk dijual komponen sebelum jentera itu dibuang di kawasan semak, sungai dan longkang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah ini, hari ini.

Beliau memberitahu, pergerakan geng ini juga adalah berdasarkan permintaan daripada individu tertentu dengan menjual terus sebuah motosikal yang telah ubah suai atau ditukarkan ‘cover set’.

Tambah Mohd. Iqbal, pihaknya tidak menolak kemungkinan hasil jualan digunakan bagi membeli dadah ekoran ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.

“Modus operandi mereka adalah dengan cara mematahkan pemegang motosikal menggunakan sepana T dengan mata yang telah diubah suai sebelum melakukan penyambungan wayar bagi menghidupkan enjin.

“Menerusi penangkapan kesemua suspek itu berjaya merampas 13 buah motosikal seperti Yamaha 135LC, Y15ZR dan Honda EX5 selain tiga rangka motosikal serta masing-masing dua bagi bongkah enjin dan kulit enjin. Nilai rampasan dianggarkan RM20,000,” katanya.

Beliau menjelaskan pihaknya berjaya menyelesaikan 20 kes jenayah curi motosikal sekitar daerah ini dan Klang dengan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI