fbpx

Tiga banduan liwat rakan dalam penjara dijel 5 tahun, satu sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua daripada tiga banduan yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan meliwat rakan mereka pada Februari lalu.- Foto ROSALWANI CHE SOH/KOSMO!

KOTA BHARU – Tiga banduan kes dadah masing-masing dipenjara lima tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meliwat seorang rakan mereka di Pusat Pemulihan Akhlak Machang dekat sini pada Februari lalu.

Tertuduh, Muhammad Tarmizi Mohd. Sandy, 25, Wan Zulharie Wan Mustapha, 32, dan Mohamad Ariff Emeran,32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan yang dibuat secara berasingan, ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan mangsa yang sama iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun.

Perbuatan itu dilakukan mereka di dalam bilik sebuah blok di Pusat Pemulihan Akhlak Machang dekat Machang di sini pada Februari lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa Seksyen 377B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap ketiga-tiga tertuduh untuk memberi pengajaran memandangkan kesalahan yang dilakukan oleh mereka amat serius.

“Kesalahan tersebut dilakukan ketika mereka sedang menjalani hukuman bagi kesalahan lain. Sepatutnya ketiga-tiga tertuduh sepatutnya menunjukkan kelakukan yang baik semasa di dalam pusat pemulihan,” katanya.

Ketiga-tiga tertuduh kemudiannya memohon agar hukuman minimum dikenakan terhadap mereka.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman terhadap ketiga-tiga tertuduh masing-masing lima tahun penjara bermula hari ini dan satu sebatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI