fbpx

Korea Utara gagal lancar satelit pengintip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Objek yang dipercayai serpihan roket pengangkut satelit Korea Utara yang terhempas ke dalam laut ditemui oleh tentera Korea Selatan di perairan Pulau Eocheong semalam. - AFP

SEOUL – Korea Utara diselar kerana cuba melancarkan sebuah satelit pengintip tentera semalam, sebelum ia terhempas ke dalam laut dengan Pyongyang mengakui terdapat masalah serius pada roket tersebut.

Negara itu tidak mempunyai satelit yang berfungsi di angkasa manakala pemimpin tertingginya, Kim Jong-un telah menjadikan pembangunan satelit pengintip tentera sebagai keutamaan rejim tersebut dan secara peribadi menyelia persiapan pelancaran.

Pihak berkuasa angkasa lepas Korea Utara berkata, pihaknya telah melancarkan apa yang didakwa satelit peninjau tentera, Malligyong-1 yang dipasang pada roket pengangkut jenis baharu, Chollima-1, awal semalam, lapor agensi berita, Korean Central News Agency (KCNA).

“Namun, roket itu terhempas ke dalam laut selepas kehilangan tujahan akibat enjin peringkat kedua tidak dapat dihidupkan selepas proses pemisahan peringkat pertama,” kata laporan itu.

Pihak berkuasa angkasa Korea Utara akan menyiasat dengan teliti masalah serius yang dinyatakan itu sambil menambah, ujian kedua akan dijalankan secepat mungkin.

Sementara itu, Tentera Korea Selatan mengesan berlakunya pelancaran satelit tetapi ia disahkan hilang dari radar dan jatuh ke laut akibat ‘penerbangan tidak normal’.

Ia kemudian berjaya menemui sebahagian serpihan sebelum mendedahkan imej yang menunjukkan struktur logam besar seperti tong dengan paip nipis dan wayar di perairan 200 kilometer di barat laut Eocheong, Laut Kuning.

Menurut pakar, ia mungkin tangki bahan api cecair.

Seoul, Tokyo dan Washington menyelar pelancaran itu dengan menganggap ia melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menghalang Pyongyang daripada melancarkan sebarang ujian menggunakan teknologi peluru berpandu balistik.

Disebabkan peluru berpandu dan roket jarak jauh yang digunakan bagi pelancaran angkasa lepas berkongsi teknologi serupa, penganalisis berkata, membangunkan keupayaan untuk meletakkan satelit di orbit akan membolehkan Pyongyang berselindung untuk menguji peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).

Dalam pada itu, tidak lama selepas pelancaran tersebut, pihak berkuasa bandar raya Seoul mengeluarkan amaran pemindahan kecemasan kepada penduduk yang menyebabkan kekeliruan meluas di internet.

Penduduk dilaporkan panik sehingga menyebabkan perkhidmatan internet tergendala sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa kerajaan tidak dapat mengendalikan krisis dengan baik sekiranya ia benar-benar berlaku.

“Rakyat sekalian, sila bersiap sedia untuk berpindah ke tempat selamat dan sila beri keutamaan kepada kanak-kanak serta warga emas,” kata mesej amaran yang dihantar ke semua telefon bimbit di Seoul pada pukul 6.41 pagi (waktu tempatan). 

Kementerian Dalam Negeri beberapa minit kemudian menjelaskan bahawa amaran tersebut telah dikeluarkan secara salah.

Kelmarin, Pyongyang mengumumkan bahawa ia merancang untuk melancarkan apa yang digelar satelit peninjau tentera sebelum 11 Jun ini setelah memberitahu Jepun mengenai rancangannya sehari sebelumnya.

Menurutnya, satelit baharu itu amat diperlukan untuk menjejak, memantau dan bersiap sedia lebih awal dalam masa nyata terhadap sebarang ancaman ketenteraan Amerika Syarikat.

Sebelum ini, Korea Utara telah melancarkan lima satelit sejak 1998 dengan tiga daripadanya gagal manakala dua lagi dikatakan berjaya diletakkan di orbit.

Isyarat daripada pelancaran-pelancaran itu bagaimanapun tidak pernah dikesan secara bebas sekali gus memberi bayangan bahawa ia mungkin gagal berfungsi. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI