fbpx

Warga emas tewaskan peragut bermotosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek berjaya diberkas di Jalan BRP 7 Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, hari ini.

SUNGAI BULOH – Cubaan seorang lelaki meragut rantai emas dipakai pesara kerajaan gagal selepas mangsa bertindak nekad menarik motosikal suspek sehingga jatuh di Jalan BRP 7 Bandar Baru Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kejadian pukul 11 pagi itu berlaku apabila mangsa lelaki tempatan berusia 67 tahun sedang berjalan menuju ke keretanya.

Menurut beliau, mangsa ketika itu didatangi sebuah motosikal jenis Yamaha Y16 ditunggang suspek yang bertindak menarik rantai emas dipakai mangsa bernilai kira-kira RM10,000.

“Menyedari dirinya diragut, mangsa bertindak menarik motosikal tersebut sehingga menyebabkan suspek terjatuh. Mangsa terus memeluk badan suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dengan bantuan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shafaaton berkata, berikutan insiden tersebut mangsa mengalami luka kecil pada lutut akibat terjatuh dan rantai emas tersebut telah dirampas semula oleh mangsa.

“Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian telah membuat tangkapan terhadap suspek dan merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Y16. Semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod jenayah lampau.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman esok di Mahkamah Shah Alam untuk siasatan lanjut,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI