KEINGINAN memiliki imej pegawai polis ideal seperti dibayangkan banyak orang, mendorong Shaheizy Sam berusaha keras sehingga elemen ‘six pack’ miliknya menjadi antara pesona mata dalam Polis Evo 3 yang kini menggila di serata pawagam tanah air.
SEJAK ditayangkan 25 Mei lalu, berderet respons positif khalayak ditujukan buat seluruh pasukan Polis Evo 3, sehinggakan ada yang melabel francais filem kepolisan tersebut sebagai penanda aras naskhah aksi di Malaysia.
Dari sudut penceritaan, lawak, aksi dan nilai kekeluargaan yang ada dalam naskhah arahan Syafiq Yusof tersebut semuanya saling menyokong sehingga mencapai kutipan RM16 juta dalam tempoh empat hari tayangan.
Kecemerlangan barisan menjadi nilai tambah dalam mempersembahkan filem aksi ini selaras dengan ‘trademark’ Kita Lagi Kuat Boh.
Tumpuan kali ini juga tentunya buat aktor Shaheizy Sam yang awal-awal lagi tular babak ‘belanja badan’ selain aksi tangkas menjayakan watak Inspektor Khai.
Shaheizy Sam atau lebih gemar disapa Sam mengakui sebelum menjalani penggambaran, berat badannya mencecah 85 kilogram (kg).
Tidak mahu memfokuskan tentang bentuk badan ideal dambaan setiap lelaki, Sam menjelaskan bahawa babak tidak berbaju dalam filem berkenaan sekadar satu aspek yang mungkin boleh dijadikan motivasi buat khalayak.

– SHIDDIQIN ZON
Dia juga yakin setiap orang mampu memiliki bentuk badan yang diingini jika menyuntik sedikit usaha, selain menjaga pemakanan seharian.
“Sebenarnya saya sudah banyak kali turunkan berat badan dan tahu kemampuan untuk melakukannya lagi.
“Bagaimanapun, babak ‘belanja’ badan bagi saya lebih kepada memberikan motivasi kepada orang luar sana untuk meyakinkan mereka juga mampu menurunkan berat badan.
“Namun, perkara tersebut bergantung atas pemikiran masing-masing dan selagi ada alasan tidak boleh, selagi itu anda tidak mampu mencapai apa yang diidamkan,” katanya kepada HibGlam.

Menjawab skeptikal netizen, mendakwa proses penurunan berat badan Sam turut disokong kewangan stabil, bapa kepada tiga orang anak itu ada jawapannya.
Kata aktor Bini-Biniku Gangster itu, pembantu peribadinya juga turut hilang berat badan selepas mengikuti cara diet yang diamalkan.
“Ramai cakap saya mampu buat sebab ada duit tetapi tidak. Buktinya pembantu peribadi saya juga mengikut cara diet saya sehingga mampu kurus.
“Dia juga tidak pernah kurus sebelum ini dan berpuas hati dapat menurunkan berat badan,” jelasnya.
Sam berharap dapat memberi suntikan semangat kepada orang ramai untuk mendapatkan berat badan ideal demi menjaga kesihatan diri.
“Sekarang saya cuma tumpukan terhadap kecergasan fizikal dan bukan mahu mengekalkan ‘six pack’ sepanjang masa.
“Inilah masanya untuk fikir mengenai kesihatan diri. Bukanlah saya cakap badan besar tidak elok tetapi saya pernah melalui fasa tersebut.
“Berat saya pernah mencecah 90 kg, saya jadi cepat penat dan nafas tercungap-cungap. Selepas sahaja berat turun, saya seronok kerana badan rasa ringan,” ujarnya.

Balas dendam
Menceritakan detik awal membina badan untuk kelihatan seperti pegawai polis handalan demi sekuel ketiga Polis Evo, pemilik nama lengkap Shaheizy Sam Abd. Samad memaklumkan proses penurunan berat badan bermula semasa menjalani penggambaran pada 2019.
Demi mendapatkan perut berotot ‘six pack’, dia sanggup menolak hidangan tertentu buat sementara waktu.
“Apabila pihak produksi panggil saya untuk menjalani penggambaran, saya mulakan ‘diet mood’.
“Daripada berat 90kg saya cuba turunkan berat badan semasa mula menjalani penggambaran dan dalam masa dua minggu saya sudah dapat hasil ‘six pack’.
“Sebelum sampai tahap babak buka baju, saya mula fokus makan makanan sihat yang tiada kandungan minyak dan gula serta pergi ke gimnasium,” katanya usai tayangan perdana Polis Evo 3 baru-baru ini.
Dedah Sam juga, dia merupakan individu yang suka menikmati makanan dalam jumlah banyak.

Sepanjang tempoh membina badan, suami kepada pelakon Syatilla Melwin itu ‘puasa’ makan iaitu menolak makanan yang kurang semata-mata untuk adegan buka baju.
Namun, selepas menjayakan babak tersebut, pelakon berusia 41 tahun itu mula balas dendam dengan menikmati pelbagai makanan yang diinginkan.
“Sebenarnya, malam sebelum menjalani penggambaran belanja badan, saya sudah menempah kambing golek, apam balik dan beberapa makanan lain untuk buka gerai di set.
“Ibaratnya seperti pasar malam di situ kerana saya mahu menjamah semua makanan yang saya elakkan sebelum ini.
“Selepas selesai babak tersebut, saya ajak semua kru makan bersama,” luahnya teruja.
















