fbpx

Hadiahkan Duka Kepadamu, momentum kembalinya Aizat Amdan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEPERTI peminat yang rata-rata jatuh suka terhadap Hadiah Duka Kepadamu saat kali pertama masuk ke halwa telinga, Aizat juga begitu.

HAMPIR dua dekad berkarya dalam industri muzik tanah air, Aizat Amdan cemerlang mengorak langkah untuk terus relevan dalam acuan tersendiri.

Agak menyepi selepas berumah tangga, penyanyi asal Kuala Lumpur itu mengakui teruja apabila lagu baharunya berjudul Hadiahkan Duka Kepadamu mendapat sambutan hangat serta diterima pencinta muzik, terutama peminat setianya.

Bagi penyanyi berusia 34 tahun itu, tidak ada apa yang lebih menggembirakan selain dapat memberikan senyuman kepada peminat yang sentiasa menantikan lagu baharu daripadanya sejak mula menapak dalam industri seni lagi.

“Setiap kali mahu menghasilkan produk baharu, ada beberapa perkara bermain dalam fikiran, termasuklah pertanyaan, adakah lagu baharu ini akan diterima baik atau tidak.

“Tapi apabila melancarkan sahaja lagu ini pada Ramadan, sambutan yang diterima begitu baik daripada semua pihak.

“Hilang segala gundah apabila lagu ini mulai disukai peminat dan mula dimainkan stesen radio,” ujar Aizat.

Hadiahkan Duka Kepadamu merupakan lagu ciptaan sepenuhnya oleh komposer sensasi Ajai. Lagu berentak balada tersebut turut dijadikan runut bunyi drama Kerasnya Takdir siaran slot Akasia, TV3.

Menariknya, drama lakonkan Amya Rosli, Redza Rosli dan ramai lagi itu mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat sejak mula ditayangkan beberapa minggu yang lalu.

Paling utama kata Aizat atau nama lengkapnya Muhammad Aizat Amdan, pemilihan Hadiahkan Duka Kepadamu menjadi runut bunyi untuk drama memberikan banyak kelebihan untuk produk berkenaan diterima dengan lebih cepat, seterusnya menangkap halwa telinga pendengar yang lain.

Jatuh suka

“Saya gembira apabila orang mula mengetahui lagu ini sedikit demi sedikit.

“Ada dalam kalangan peminat yang terkejut apabila mengetahui lagu ini dinyanyikan oleh saya.

“Ada yang beranggapan lagu ini dinyanyikan oleh penyanyi baharu dan tak kurang juga yang jatuh cinta kali pertama mendengarkannya. Semua itu memberikan keterujaan kepada saya,” ungkap penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu itu lagi.

Bercerita mengenai kerjasama dengan Ajai pula, Aizat beberapa kali dengan komposer popular tersebut bagi mendengar sendiri lagu berkenaan.

Bagai cinta pandang pertama, dia mengakui mula jatuh suka saat demo lagu berkenaan diperdengarkan kepadanya.

Memandangkan ini merupakan kali pertama mereka bekerjasama, pastinya banyak perbincangan dilakukan demi memastikan kelancaran proses rakaman selepas itu.

“Pastinya saya teruja memandangkan ini kali pertama kami bekerjasama. Ajai sendiri memang seorang komposer yang berpengalaman luas dan sudah menghasilkan sejumlah lagu yang banyak.

“Sebagai penyanyi saya mahu sampaikan lagu berkenaan sehabis baik. Sejujurnya saya mahu buah tangan baharu ini akan diminati peminat seperti lagu-lagu terdahulu,” tambahnya.
Hadiahkan Duka Kepadamu merupakan terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dengan kerjasama Alternate Records dan diedarkan oleh Indigital Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI