fbpx

Dasar fiskal kerajaan, langkah Belanjawan 2023 mula buah hasil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Petunjuk awal indikator ekonomi memperlihatkan bahawa dasar fiskal dan langkah Belanjawan 2023 mula membuahkan hasil meskipun menghadapi pelbagai cabaran yang diwarisi sejak mengambil alih kerajaan pada November 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal itu dapat dilihat apabila Malaysia mencapai pertumbuhan Suku Pertama (S1) 2023 yang memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus berbanding unjuran 2023 sebanyak 4 hingga 5 peratus.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ia termasuk berjaya mengurangkan kadar pengangguran kepada 3.5 peratus berbanding 5.2 peratus pada Mei 2020.

“Pelaburan yang diluluskan pada S1 2023 mencecah RM71 bilion, meningkat 60 peratus daripada RM45 bilion pada S1 2022.

“Ini disokong oleh minat pelaburan yang tinggi daripada pihak terlibat seperti Amazon Web Services, Tesla EV, Geely atau Proton Automotive City di Tanjung Malim dan Ronsheng Petrochemicals di Pengerang.

“Pengesahan penarafan kredit oleh Fitch dan Moody’s masing-masing pada Februari dan April 2023 turut mencerminkan keyakinan mereka terhadap iltizam kerajaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi walaupaun di tengah situasi global mencabar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.

Pada masa sama, Anwar turut menekankan komitmen kerajaan memacu pertumbuhan inklusif dan mampan, memulihkan keyakinan terhadap institusi awam dan tatakelola selain menegakkan keadilan sosial untuk semua rakyat.

“Kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menghasilkan hubungan dengan usahawan tempatan dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Ini termasuk langkah Belanjawan 2023 untuk menyokong PKS khususnya melalui penyediaan pelbagai kemudahan pembiayaan dan jaminan bernilai RM40 bilion.

“Kerajaan komited meningkatkan lagi aktiviti perniagaan dan menyokong pelaburan langsung domestik,” jelasnya.

Terdahulu, Anwar mengadakan sesi dialog dengan pemimpin perniagaan, badan pengawal selia dan ahli ekonomi berhubung langkah-langkah memperkukuh pemacuan pertumbuhan ekonomi dan merangsang pelaburan domestik.

Sesi dialog itu dihadiri oleh dewan perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) selain Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI). – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI