fbpx
Ahmad Hawary menunjukkan ikan baung ekor merah seberat 22kg yang berjaya ditawannya.

Teknik rahsia umpan baung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKTIVITI memancing sudah menjadi satu hobi yang sangat sinonim dengan golongan lelaki.

Sama ada tinggal di kawasan kampung dan pedalaman, mahupun di kawasan bandar, aktiviti memancing pasti akan terus dilakukan khususnya bagi mereka yang sudah bergelar kaki pancing.

Perkara itu diakui sendiri oleh Ahmad Hawary Abdul Hamid, 35, yang sudah bergelar kaki pancing sejak lebih 20 tahun lalu sewaktu masih remaja.

Ahmad Hawary yang berasal dari Rawang, Selangor dan kini menetap di Taman Bukit Sentosa Rawang berkata, dia banyak mempelajari selok-belok dan ilmu berkaitan memancing daripada bapanya yang juga seorang kaki pancing tegar.

“Sewaktu masih remaja, saya kerap mengikuti bapa memancing di sungai sekitar Rawang.

“Selain membawa saya untuk menemaninya, ayah saya juga banyak mengajar saya mengenai teknik memancing ikan air tawar terutama mengenai jenis-jenis umpan yang perlu digunakan untuk memburu spesies ikan tertentu.

“Hasil tunjuk ajarnya, boleh dikatakan kini saya sudah menguasai teknik-teknik memburu ikan-ikan air tawar khususnya ikan baung yang banyak mendiami sungai-sungai di sekitar negeri Selangor ini,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Ahmad Hawary, walaupun sungai-sungai di sekitar Rawang mempunyai pelbagai spesies ikan air tawar seperti patin, pacu dan sebagainya, namun ikan baung kerap menjadi pilihannya.

Ini kerana, selain mempunyai permintaan dan harga yang agak tinggi, ikan tersebut juga mampu memberi keseronokan dan cabaran kepadanya ketika memancing.

Ini kerana, jelasnya, selain perlu pandai mencari lubuk spesies tersebut, seorang kaki pancing juga harus pandai menyediakan umpan yang bersesuaian untuk menarik minat spesies tersebut menjamah umpan dan seterusnya menelan mata kail.

Antara ikan baung ekor kuning yang berjaya dinaikkan oleh Ahmad Hawary.

Antara lokasi yang kerap menjadi ‘port’ untuknya memburu ikan baung adalah di sepanjang Sungai Batang Berjuntai, Sungai Bukit Tagar dan Sungai Selangor.

Waktu yang paling sesuai bagi memburu ikan baung adalah ketika air sungai deras khususnya selepas waktu hujan dan selepas musim banjir.

“Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan oleh ramai kaki pancing untuk memburu ikan baung, antaranya menggunakan umpan hidup seperti anak ikan keli dan puyu.

“Bagaimanapun, penggunaan umpan hidup sesuai digunakan bagi memburu ikan baung pada waktu malam kerana umpan berkenaan aktif pada waktu malam dan mampu menarik perhatian spesies baung untuk mendekatinya.

“Bagi diri ini, saya lebih gemar menggunakan umpan tapa kapas, iaitu sejenis umpan yang diperbuat daripada pelbagai campuran bahan seperti usus ayam, kekabu, lemak lembu dan telur itik.

“Teknik penyediaan umpan tapa kapas ini saya adun menggunakan teknik rahsia yang diajar oleh bapa saya dan ia boleh digunakan untuk memburu ikan baung pada waktu siang kerana baunya yang kuat,” kata Ahmad Hawary.

Walaupun bersaiz agak kecil, baung ekor kuning mempunyai harga yang tinggi
di pasaran.

Jelasnya lagi, bagi memburu ikan baung yang merupakan spesies pemangsa, dia kerap menggunakan set joran khas yang mampu menahan daya lawan ikan tersebut.

Katanya, kebiasaannya dia akan menggunakan tali utama bersaiz antara 50 paun hingga 80 paun bagi memburu baung ekor kuning, manakala tali bersaiz antara 80 paun hingga 150 paun bagi baung ekor merah.

Dia juga kerap menggunakan mata kail bersaiz 5/0 hingga 7/0 yang lebih besar dan keras agar mampu menahan daya lawan baung khususnya baung ekor merah yang bersaiz lebih besar dan ganas.

“Lokasi lubuk yang kerap didiami baung adalah kawasan reba yang dipenuhi himpunan ranting kayu hanyut selain kawasan mempunyai olak atau lubang dasar.

“Selain menggunakan set joran yang mampu beraksi lasak, saya juga akan memastikan ikan yang sudah mengenai umpan ditarik menggunakan teknik bersesuaian.

“Ini bagi mengelak ikan memasuki kawasan rimbunan kayu dan ranting yang sememangnya merupakan lubuk spesies tersebut yang boleh mengakibatkan tali terputus atau tersangkut,” katanya.

Cerita Ahmad Hawary, setakat ini ikan baung terbesar yang pernah dinaikkan adalah daripada spesies ekor merah dengan saiz seberat 22 kilogram (kg) ketika memancing di Sungai Batang Berjuntai. Sementara itu, bagi ikan baung ekor kuning pula katanya, rata-ratanya adalah bersaiz kurang daripada 10 kg seekor.

“Bagi baung ekor kuning, harga di pasaran pada masa kini adalah sekitar RM25 hingga RM38 sekilogram mengikut saiz, manakala harga baung ekor merah lebih rendah iaitu antara RM15 hingga RM22 sekilogram.

“Kebiasaannya, jika dapat banyak baung ekor kuning, saya akan jual kepada pelanggan yang sudah sedia menanti, manakala baung ekor merah kerap dijadikan hidangan keluarga selain diberi kepada jiran dan rakan-rakan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN