KEDENGARAN agak kelakar dan membuatkan sesiapa sahaja tergelak, tetapi itulah kenyataan yang perlu ditelan wanita kelahiran Kuala Terengganu ini.
Berkongsi kisah mengenai kembara rumah tangganya yang menemui titik noktah tahun lalu, Yati (bukan nama sebenar) akur dan reda dengan kehendak Ilahi.
Menurutnya yang merupakan pembantu di salah sebuah taska, dia bernikah dengan bekas suaminya iaitu Roy (bukan nama sebenar) sekitar tiga tahun lalu selepas mengenali antara satu sama lain kurang daripada setahun menerusi aplikasi sosial.
Namun, dek kerana restu keluarga dan utuhnya cinta antara satu sama lain, tempoh perkenalan yang sedikit singkat itu bukan penghalang untuk mereka berdua mendirikan sebuah masjid.
Akui Yati, fizikal badannya yang berisi dan boleh dikategorikan sebagai obes langsung tidak dilihat sebagai satu kekurangan oleh Roy.
“Jujur saya memang memiliki badan sedikit besar sejak kanak-kanak lagi. Baka keluarga kami memang semua besar-besar dan sihat kata orang.
“Tapi bukanlah bermaksud sampai tidak boleh berjalan atau lakukan tugas harian dan bekerja.
“Pada awal perkenalan dengan Roy, jujur saya malu dan rasa kurang sepadan dengannya kerana dia tampan dan elok orangnya,” ujarnya.
Kata Yati lagi, dia juga pernah bertanya kepada Roy tidak malukah berkawan dan menjalin cinta dengannya kerana boleh diumpamakan bagai langit dengan bumi.

Beritahu anak kedua daripada lima beradik itu, Roy bertegas langsung tidak kisah dengan bentuk fizikal badannya asalkan jujur dan saling menerima segala kekurangan satu sama lain.
“Jadi alhamdulillah kami selamat dinikahkan bersama. Selepas kahwin, saya ikut suami berpindah ke Selangor kerana dia merupakan orang sana dan turut bekerja di negeri itu.
“Di awal perkahwinan, kasih sayang yang dicurahkan suami kepada saya ibarat seorang permaisuri yang dilayan raja.
“Suami juga sentiasa memberi saya semangat untuk menggayakan hidup sihat seperti makan makanan yang sihat termasuk melakukan senaman ringan walau hanya di rumah,” katanya.
Dua tahun berlalu, kami berdua masih belum dikurniakan zuriat meskipun sudah beberapa kali mencuba tanpa putus asa.
Kongsi Yati lagi, dia dan suami ada bertemu doktor untuk mendapatkan konsultasi mengenai kehamilan dan rata-rata pegawai perubatan yang ditemui mengesyorkan Yati menurunkan dan mengawal berat badan.
“Doktor kata, dengan berat badan saya yang mencecah 110 kilogram ketika itu memang agar sukar untuk hamil.
“Jadi tiada pilihan lain selain saya perlu menurunkan berat badan, mengamalkan gaya hidup sihat, berdiet dah lakukan apa sahaja untuk hamil kerana doktor mengesahkan saya tidak mandul.
“Tahap kesuburan suami juga baik. Jadi rentetan itu suami mula ‘berubah’ menjadi lebih tegas dan selalu meminta saya untuk kuruskan badan.
“Macam-macam perkara sudah saya cuba, tetapi kesannya tetap sama dan seperti tiada apa yang berubah,” tuturnya.
Beritahu Yati juga, sampailah ada satu tahap dia terfikir untuk makan pil kurus sebanyak mungkin agar apa yang dimahukan suaminya dapat dikabulkan.
Akui Yati lagi, mungkin disebabkan bentuk badannya yang gemuk juga, dia cepat berpeluh walaupun hanya berjalan kaki dalam rumah atau berjalan pada jarak yang tidak jauh.
“Apa yang buat saya terkejut, suami akhirnya meluahkan yang dia selama ini memendam rasa tidak tahan dengan bau badan dan ketiak saya lebih-lebih lagi ketika berpeluh.Itu juga antara punca mengapa suami beria-ia mahu saya segera turunkan berat badan.
“Selera dia kepada saya pun semakin kurang. Sampaikan satu tahap suami beri saya kata dua. Dia beri saya tempoh tiga bulan lagi untuk berubah, jika tidak hubungan kami akan berakhir,” katanya.
Jelas Yati, dia fikirkan itu hanya gurauan dan kata-kata suami kerana bercakap ketika sedang marah, namun apa yang diungkapkannya itu memang betul-betul ditunaikan.
“Saya diceraikan betul-betul di depan muka dengan talak satu. Suami berkata, dia sudah tidak tahan lagi kerana tiga tahun yang langsung tiada apa-apa makna.
“Walau sukar untuk percaya dan terima selain merasakan ia seperti mimpi, tapi itu kenyataan yang saya harus terima dan telan walaupun pahit,” katanya yang buat masa ini trauma dan tertutup pintu hatinya untuk berumah tangga.
















