fbpx

Pusat panggilan judi diserbu, 11 warga asing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Premis sindiket perjudian dalam talian membabitkan warga asing yang diserbu di sebuah kondominium di Salak Selatan, Petaling Jaya, 25 Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Seramai 11 individu ditahan selepas kegiatan sindiket perjudian dalam talian membabitkan warga asing terbongkar dalam serbuan di sebuah kondominium di Salak Selatan, di sini, 25 Mei lalu.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, polis berjaya menumpaskan sindiket yang beroperasi sejak September 2022.

Ketua Polis Daerah Cheras, Zam Halim Jamaluddin berkata, kondominium berkenaan telah dijadikan sarang pusat panggilan judi dalam talian dan disewa dengan bayaran RM7,000 sebulan.

Kata beliau, 10 daripada 11 individu yang ditahan berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan untuk mencari ‘kaki judi’ yang berminat melalui laman web khas.

“Pelanggan yang berminat perlu melayari laman web perjudian www.rp369menang.com sebelum membuka akaun judi menggunakan web sama.

“Pemain akan diarahkan membeli kredit bermula 25,000 rupiah bersamaan RM7 untuk membolehkan mereka bermain judi dimana-mana platform aplikasi judi dalam talian itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Tambah Zam Halim, semakan mendapati transaksi kemasukan kredit oleh pemain ke dalam platform ini dianggarkan sekitar RM500,000 sehingga RM700,000.

Ujar beliau, hasil serbuan itu juga, sebanyak 12 unit monitor, CPU (6 unit) dan 23 telefon bimbit pelbagai jenama telah dirampas.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia 20 sehingga 29 tahun itu telah masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial. Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Judi Rumah Terbuka 1953,” jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Zam Halim berkata, sebanyak 253 serbuan dijalankan melibatkan kes perjudian di daerah ini sejak Januari hingga awal Mei lalu.

“Sepanjang tempoh itu sebanyak 249 kes atau 98 peratus daripada siasatan yang dilakukan telah dituduh,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI