fbpx

Projek LCS diteruskan kerana kerajaan telah keluarkan dana -Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia hari ini.

PETALING JAYA – Projek Perolehan Kapal Second Generation Patrol Vessel (SGPV) berkeupayaan Littoral Combat Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diteruskan kerana kerajaan telah membelanjakan sejumlah dana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM6 bilion untuk projek perolehan kapal tersebut, maka langkah tersebut dibuat bagi memastikan projek berkenaan dapat diselesaikan sepenuh.

“Kita tiada pilihan, kita (kerajaan) telah belanja RM6 bilion, projek ini tidak boleh ditutup,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ke-40 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Semalam, kerajaan bersetuju untuk meneruskan projek SGPV berkeupayaan LCS bagi TLDM.

Susulan itu, sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) ditubuhkan Kementerian Kewangan bagi memindahkan hak milik Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) sebagai anak syarikat kementerian tersebut selaras dengan syarat dipersetujui.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, meskipun SPV ditubuhkan, pelaksanaan projek pembinaan lima buah LCS itu akan terus dipantau menerusi Project Monitoring Committee (PMC).

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Kementerian Kewangan akan mengambil alih Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB), beliau berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Kenyataan lengkap akan dikeluarkan, kerana ada projek-projek yang mesti diselesaikan termasuk LCS,” ujarnya.

Dalam pada itu, menjawab soalan pemberita sama ada berlaku pertukaran dalam barisan Kabinet sebaik tamat Pilihan Raya Negeri (PRN), Anwar mengalu-alukan cadangan tersebut dan sedia mempertimbangkannya.

“Ada cadangan, sila tulis pada saya dan saya akan beri pertimbangan sebaiknya,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI