fbpx

Chong Wei gesa BWF anjur kejohanan lebih berkualiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LEE CHONG WEI

KUALA LUMPUR – Legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei menggesa Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menganjurkan kejohanan lebih berkualiti yang menawarkan hadiah lumayan jika mahu mengangkat sukan raket itu setaraf dengan tenis.

Pendapat itu disuarakan Chong Wei ketika beliau dimasukkan dalam Dewan Kemasyhuran BWF 2023 bersama seteru utama yang juga legenda badminton China, Lin Dan dalam majlis gilang-gemilang di Kuala Lumpur semalam.

Meskipun merasakan tidak sesuai untuk membincangkan perkara tersebut memandangkan sudah bersara daripada arena badminton dunia, namun Chong Wei merasa terpanggil untuk memberikan saranan demi kebaikan pemain.

“Saya rasa tidak sesuai untuk kami bekas pemain badminton membincangkan perkara ini (perubahan dalam dunia badminton). Perkara ini perlu diajukan kepada BWF mengenai perubahan yang mereka mahu lakukan.

“Mungkin mereka akan menukar format mata perlawanan, sistem ataupun menaikkan nilai wang kemenangan. Beberapa kejohanan juga boleh dimansuhkan dengan memberi tumpuan terhadap kejohanan lebih berkualiti seperti tenis yang ada empat kejohanan utama,” katanya.

Chong Wei yang turut dikenali sebagai Raja Siri Super itu menganggap jadual padat diharungi pemain-pemain ketika ini meningkatkan risiko untuk mereka mengalami kecederaan.

“Disebabkan itu (jadual padat) ramai pemain mengalami kecederaan dan saya harap BWF boleh menganjurkan enam ke lapan kejohanan berkualiti dengan menawarkan hadiah kemenangan lumayan,” ujarnya.

Terdahulu, beberapa pemain termasuk pemain No.1 dunia, Viktor Axelsen serta perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mengalami kecederaan selepas mengharungi jadual padat musim ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI